TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Malaysia terkenal di seluruh dunia bukan hanya kerana pembangunan fizikalnya sahaja tetapi juga dari aspek pembangunan manusia, sosial dan ekonomi.
Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kesilapan beberapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan kedudukan Malaysia merosot sehingga menjejaskan imej baik selama ini.
‘’Lebih mendukacitakan, negara juga semakin rosak sehingga ke tahap memalukan kerana perbuatan tidak amanah, rasuah, tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin. Tindak-tanduk mereka juga menyebabkan kesusahan kepada kehidupan rakyat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu hari ini merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, di Pagoh.
Beliau menegaskan, Bersatu ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan semula kedudukan negara ke tahap yang lebih baik dan rakyat dapat menikmati kekayaan ekonomi negara dengan saksama.
‘’Saya percaya Bersatu dan Perikatan Nasional dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat dan negara ini sebagaimana dibuktikan ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
‘’Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang keperluan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya akan datang bagi mengelakkan musibah yang lebih hebat dan besar berlaku ke atas negara ini,’’ katanya.
Muhyiddin mengingatkan, jika UMNO dan BN berkuasa semula, segala perangai lama iaitu rasuah, kleptokrasi, salah guna kuasa, dan penyelewengan akan berulang semula.
‘’Saya menyeru seluruh ahli Bersatu agar lebih agresif dalam gerak kerja parti terutama dalam menambah bilangan ahli seramai mungkin selain mempersiapkan diri dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi,’’ katanya.
Hari ini saya ke Pagoh bagi merasmikan Persidangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh kali keempat untuk tahun 2022
Dalam ucapan perasmian, saya menyeru seluruh ahli dan kepimpinan parti di seluruh negara agar terus memperkukuhkan saf perjuangan parti.
Saya juga mengulangi sekali lagi tentang keberadaan BERSATU dalam kancah politik negara adalah dengan satu matlamat besar iaitu meletakkan negara ke satu tahap yang lebih mulia dan lebih dihormati.
Leave a Reply