AS dakwa ‘Datuk Seri’ atas pertuduhan pemerdagangan hidupan liar, pengubahan wang haram

AMERIKA Syarikat (AS) akan mendakwa seorang lelaki Malaysia, bergelar “Datuk Seri”, kerana melakukan konspirasi untuk terlibat dalam pemerdagangan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

Portal  FMT melaprokan, dalam satu kenyataan, peguam AS bagi daerah selatan New York berkata Teo Boon Ching, 57, diekstradisi dari Thailand semalam selepas ditangkap pada Jun atas kesalahan kedua penyeludupan hidupan liar.

Peguam itu Damian William berkata Teo adalah ketua perusahaan jenayah rentas negara yang memperdagangkan tanduk badak sumbu dan mengkayakan pemburu haram yang membunuh haiwan terancam.

Teo yang dikatakan mempunyai perniagaan di Malaysia dan Thailand, didakwa memperdagangkan dan menyeludup tanduk badak sumbu.

“Teo menjadi penyeludup khusus, mengangkut tanduk badak sumbu daripada operasi pemburuan badak sumbu terutamanya di Afrika kepada pelanggan akhirnya terutamanya di Asia. Teo juga mendakwa boleh menghantar tanduk badak ke AS,” kata kertas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya itu.

Dia juga didakwa menyeludup kira-kira 73kg tanduk dengan nilai hampir AS$725,472 (RM3.3 juta) pada 2019. Dia juga memberitahu orang ramai bahawa dia adalah orang tengah bagi tanduk badak sumbu buruan di Afrika dan mengenakan bayaran bagi setiap kilogram.

Sumber sulit di AS, yang bertindak sebagai pembeli, membeli 12 tanduk daripada Teo dan memindahkan wang daripada bank New York ke banyak akaun bank China menerusi kemudahan perbankan “rahsia” di Thailand, kata kenyataan itu.

Teo berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun kerana melakukan konspirasi penyeludupan hidupan liar dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Semalam, Reuters melaporkan bahawa AS telah mengenakan sekatan terhadap kumpulan Malaysia, menuduhnya terlibat dalam “pemerdagangan kejam hidupan liar yang terancam serta produk pemburuan haram”.

Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan berkata, ia telah mengenakan sekatan terhadap rakyat Malaysia Teo Boon Ching, Pertubuhan Jenayah Transnasional Pemerdagangan Hidupan Liar Teo Boon Ching dan syarikat Malaysia, Sunrise Greenland.

Organisasi ini pakar dalam pengangkutan tanduk badak, gading dan tenggiling dari Afrika.

Ia menggunakan laluan melalui Malaysia dan Laos untuk perkhidmatan kepada pelanggan di Vietnam dan China, kata kenyataan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *