Pengurus butik kecantikan dipenjara 5 tahun eksploitasi amah Indonesia

SEORANG wanita berusia 51 tahun diarah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara lima tahun hari ini selepas gagal mengetepikan sabitan atas kesalahan memperdagangkan pembantu rumahnya warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan M. Mullaimalar terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Mullaimalar, yang sebelum ini memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dibebaskan dengan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya, diperintah oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara itu, bermula hari ini.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 16 Dis 2020 yang mendapati Mullaimalar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 atau jika gagal membayar denda, dikenakan penjara tambahan enam bulan. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM4,500 kepada mangsa.

Pada 25 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya.

Hakim Nordin, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata berdasarkan keterangan, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap Mullaimalar. 

Beliau juga berkata tiada alasan bagi mahkamah untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen dalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Mullaimalar, dan hukuman itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon mahkamah meningkatkan tempoh hukuman penjara kepada antara tujuh hingga 10 tahun.

Mullaimalar, pengurus butik kecantikan dan perancang perkahwinan, didapati bersalah pada 16 Dis 2020 oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan memperdagang Darsem Warsa, 45, bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan menggunakan kekerasan dan bentuk paksaan yang lain.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor antara Mac hingga 26 Nov 2017.

Berdasarkan keterangan, mangsa yang bekerja sebagai amah dengan Mullaimalar telah dieksploitasi oleh majikannya, menggunakan kekerasan dan mengugutnya untuk melakukan kerja. Mangsa juga berkata dia telah dipukul dan diberi makan hanya sekali sehari.

Dalam pembelaannya, Mullaimalar, yang diwakili peguam N. Rhubini dan K. Bharathi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, menafikan beliau telah memaksa mangsa melakukan apa-apa kerja atau menderanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *