Warga kerja komited sandaran FELCRA jayakan Pelan Transformasi 2.0

LANGKAH kerajaan membenarkan FELCRA Berhad membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang sawit dan getah miliknya adalah tindakan yang tepat.

Ia memandangkan ketika agensi itu kini dalam menjayakan Pelan Transformasi FELCRA Berhad 2.0 mereka tidak boleh berhadapan sebarang halangan yang boleh membantutkan usaha itu.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata kemasukan pekerja itu dijangka akan memulihkan semula hasil pengeluaran FELCRA yang sebelum ini terjejas ekoran kekurangan tenaga kerja ketika pandemik COVID-19.

“FELCRA tidak rugi malah catat keuntungan yang banyak tetapi ketika pandemik COVID-19 lalu, ramai pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan bila hendak masuk bekerja semula di Malaysia, prosedur kemasukan sedikit sukar.

“Bila tiada pekerja untuk bekerja di ladang-ladang FELCRA, hasil akan berkurangan. Sebab itu, kami minta kerajaan untuk bekalkan pekerja dan telah mendapat kebenaran untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing tetapi proses kemasukan itu agak lambat,” katanya.

Kini masalah tersebut boleh dianggap selesai sekaligus akan memberi peluang kepada FELCRA untuk terus mencatatkan untungan dan memulihkan memastikan apa yang disasarkan dalam pelan transformasi tersebut mencapai kejayaan.

Pada 1 September lalu, FELCRA Berhad genap 25 tahun dalam persada korporat serta terkenal sebagai salah satu pemain dalam industri bidang perladangan. Pada usia tersebut agensi itu kini sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan Pelan Transformasi 2.0 berjaya.

Seperti mana dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 12 September lalu, objektif Pelan Transformasi 2.0 FELCRA lebih memfokuskan kepada aktiviti peningkatan produktiviti ladang, pelaksanaan aspirasi dasar sekuriti makanan negara, diversifikasi pendapatan syarikat yang akan digerakkan oleh pasukan kerja dalaman FELCRA dan memperkasakan aktiviti bisnes utama syarikat melalui:

a) Mekanisasi dan IR 4.0 iaitu program-program digitalisasi dan mekanisasi dengan adaptasi teknologi bagi menjalankan operasi ladang serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga manusia;

b) Peningkatan luas ladang dengan mensasarkan penambahan 30,000 hektar ladang komersial dalam tempoh masa 5 tahun;

c) Sumber perolehan lain dengan mempelbagaikan aktiviti menjana pendapatan seperti perlombongan dan pembangunan aset-aset strategik; dan

d) Pembangunan industri hiliran pelan jangka panjang yang dirancang termasuk pelaburan dalam industri hiliran seperti kilang penapisan dan pembuatan produk oleochemical.

Justeru itulah beliau berharap semua warga FELCRA akan terus bekerja kuat untuk menjayakan Pelan Transformasi 2.0 tersebut supaya FELCRA akan menjadi sebuah syarikat kerajaan yang berjaya.

Apa yang membanggakan ketika heboh diperkatakan mengenai aspirasi Dasar Sekuriti Makanan Negara, FELCRA mengorak langkah dengan menceburi bidang penternakan ayam pedaging secara sistem tertutup bagi memenuhi permintaan domestik, membangunkan tanaman alternatif dan produk hiliran.

Mahdzir Khalid mendengar penerangan daripada Pengersu FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan mengenai projek ternakan ayam pedaging di Rompin.

Bagi tujuan tersebut, kata Mahdzir, FELCRA Berhad telah diluluskan geran berjumlah RM59.64 juta bagi skop Program Ternakan Ayam Pedaging daripada Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan Keduabelas (RMKe-12).

 ‘’Projek ini merupakan salah satu usaha negara dalam memastikan kelangsungan makanan negara terutama ketika berhadapan krisis sepertimana yang digariskan pada Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Nasional (DSMN) 2021-2025 yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 8 Jun 2021.

 ‘’Pengurusan FELCRA Berhad juga turut mengiktiraf Projek Ternakan Ayam ini sebagai projek alternatif berimpak tinggi di bawah Pelan Transformasi 2.0 FELCRA Berhad, bagi membantu pihak syarikat terutama ketika berhadapan dengan harga pasaran tanaman komoditi yang tidak menentu,’’ kata Mahdzir.

Projek tersebut bukan sekadar diuar-uarkan sebaliknya ia sudah dilaksanakan apabila  FELCRA Berhad dengan peruntukan yang telah diluluskan, membangunkan dua ladang ternakan ayam pedaging (sistem tertutup).

Ladang pertama terletak di Tanjung Seratus, Rompin yang mana dijangka mampu mengeluarkan hasil sebanyak 600,000 ekor ayam sepusingan bersamaan 3.6 juta ekor ayam setahun. Manakala projek kedua bakal dilaksanakan di Kubang Palas, Kuala Nerang yang dijangka mampu mengeluarkan 250,000 ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

Seperti mana kata Mahdzir, projek atau inisiatif itu bukan sahaja akan memberi impak kepada peserta FELCRA tetapi juga kepada rakyat setempat melalui pemberian dividen, penawaran harga jualan ayam segar di bawah harga pasaran, mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan sosio-ekonomi penduduk setempat, penambahbaikan dan pembangunan kawasan sekitar serta lain-lain lagi.

Apa yang diperkatakan, hanyalah secebis daripada pelbagai usaha dilakukan oleh Mahdzir, KPLB dan pengurusan FELCRA bagi memperkasakan dan memperkukuhkan syarikat korporat itu untuk menjadi sebuah syarikat kerajaan yang berjaya.

Sesungguhnya benarlah kata Mahdzir, kejayaan FELCRA Berhad hari ini adalah disokong oleh hampir 3,000 stafnya di seluruh dunia yang memberikan kerjasama dan berfikir secara strategik untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan berterusan.

‘’Semoga dengan komitmen dan kesungguhan semua, FELCRA akan dapat terus maju jaya dan dapat melaksanakan pelan transformasinya dengan jaya,’’ kata Mahdzir.

Penulis yakin dengan apa yang dicapai setakat ini dan dengan tenaga kerja FELCRA yang komited bukan sahaja harapan Mahdzir, malah Pelan Transformasi 2.0 pasti menjadi berjaya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *