Larangan acara hiburan di Kedah hanya sementara

Oleh BADLISHAH MAT

KERAJAAN negeri Kedah akan memperincikan garis panduan konsert terbuka di negeri itu bagi mengelak insiden penonton bertindak di luar kawalan seperti berlaku di Balai Seni yang berhadapan Masjid Zahir berulang lagi pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, larangan terhadap acara hiburan yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kelmarin adalah bersifat sementara untuk menjamin keharmonian rakyat negeri ini.

“Untuk harmonikan keadaan, kita hentikan sementara penganjuran konsert yang boleh datangkan mudarat, bukan halang semua konsert, sebab ada yang berkonsepkan kerohanian dan keagamaan.

“Ia hanya makluman umum, belum diperincikan jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan. Perkara ini akan dibincangkan secara terperinci termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalam Mesyuarat Exco,” katanya.

Beliau sebelum itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad mengadakan pertemuan dengan Penganjur Festival Mingguan Muda-Mudi iaitu Pengelola Kolektif Biggy, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin di Wisma Darul Aman, Kedah.

Muhammad Sanusi sebelum ini menyatakan, penganjuran program yang melibatkan konsert hiburan hingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila, tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

Beliau menegaskan, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar itu menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

Sementara itu, berhubung insiden penonton terkinja-kinja itu, kata Mohd. Firdaus, pihaknya juga mendapati tiada sebarang pelanggaran dilakukan oleh penganjur terbabit dengan kerjasama Balai Seni Negeri.

“Saya percaya perkara ini menjadi isu besar berikutan pemilihan tempat program yang berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam kurang sesuai. Kita ambil maklum tentang perkara ini tetapi program-program seperti ini tidak boleh disekat terus.

“Ia menggabungkan aktiviti seni, keusahawanan dan hiburan kekeluargaan namun menjadi tidak terkawal hanya ketika konsert diadakan. Tak kan pula disebabkan insiden itu, usahawan kita dihalang, mereka nak cari rezeki macam mana, malah akan rencatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, Ainol Zulkarnain, 38, memohon maaf di atas insiden yang disifatkan sebagai pengajaran besar kepada mereka dan memaklumkan program berkenaan adalah satu usaha untuk mempromosikan bakat anak-anak muda negeri itu dalam bidang seni dan keusahawanan.

“Kami memohon maaf andai apa yang kami buat ini memberi kesulitan kepada pihak muzium, Balai Seni dan kerajaan negeri. Apa yang berlaku sudah terjadi dan kami berada di waktu yang salah dan mungkin ini pengajaran yang sangat berharga untuk kami.

“Niat kami sangat baik dan langsung tidak mempunyai niat tidak baik kepada mana-mana pihak. Jadi kami ambil iktibar untuk baikinya,” katanya yang memaklumkan festival yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober lalu itu adalah platform untuk anak-anak muda mengembangkan bakat seni dan bidang keusahawanan masing-masing.

“Kami ambil iktibar dan pengajaran daripada perkara ini untuk kami berjaya dalam objektif program kami. Niat kami program adalah sebuah himpunan anak muda dan platform untuk kembangkan bakat dan bidang keusahawanan.

“Jadi, festival ini tidak salah. Kalau konsert seperti itu tidak lagi dibenarkan kami akur. Namun bagi kami cabang seni tak tertakluk kepada persembahan muzik sahaja banyak lagi seperti seni kopi, kraf, fesyen, sukan lasak dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan aksi terkinja-kinja di Balai Seni Negeri. Acara itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *