Tun Daim bersimpati dengan nasib bekas pekerja Utusan

TOKOH konglomerat terkenal, Tun Daim Zainuddin melahirkan simpati kepada nasib bekas pekerja Utusan Melayu (Utusan) yang masih menunggu pampasan dari bekas majikan mereka walaupun syarikat itu telah tiga tahun ditutup.

Dalam pertemuan selama 45 minit idengan lima bekas pekerja Utusan Melayu diketuai Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan menyatakan sokongan kepada perjuangan bekas kakitangan Utusan yang teraniaya.

“Kalau nak tutup syarikat tutup la, bayar lah apa yang patut kepada pekerja,” katanya yang banyak memberi semangat dan nasihat mengenai tindakan yang boleh diambil dalam perjuangan bekas pekerja Utusan menuntut hak mereka.

Daim Zainuddin mendengar penjelasan Saifol Bakhtiar Hamik.

Daim yang memanggil pertemuan itu menasihatkan agar kumpulan gerakan perjuangan menuntut hak itu meminta ehsan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk masuk campur kerana diyakini Perdana Menteri boleh membantu bekas pekerja Utusan.

“Penutupan Utusan sememangnya satu peristiwa menyedihkan kerana ia merupakan satu entiti yang melambangkan perjuangan orang-orang Melayu sejak zaman sebelum merdeka,” katanya.

Ahad ini genap syarikat Utusan Melayu ditutup selama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela, bagaimanapun tiada sebarang pampasan diberikan kepada kira-kira 1,500 bekas pekerja dan pengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

Sabtu lepas, seramai 300 orang bekas kakitangan Utusan mengadakan perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *