Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG ibu maut manakala anaknya pula cedera parah gara-gara tindakan seorang pemandu kereta membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan, dekat Kilometer 68, Jalan Alor Setar menuju ke Butterworth di Padang Temusu, Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 petang melibatkan tiga buah kenderaan terdiri daripada dua kereta dan sebuah motosikal dinaiki dua beranak terbabit.
“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang pembantu kedai berusia 32 tahun, membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan. Difahamkan kereta itu pada mulanya berada di lorong motosikal sebelum tiba-tiba membuat pusingan U.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki dua beranak yang berada di lorong sebelah kanan, belakang kereta tersebut, gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan,” katanya.
Kemalangan itu berlaku di kawasan yang mempunyai garisan berkembar.
Tambahnya, rempuhan itu mengakibatkan motosikal berkenaan bersama dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.
“Di laluan bertentangan itu, dua beranak berkenaan serta motosikal mereka dilanggar pula oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang tidak sempat mengelak,” katanya.
Akibat daripada kemalangan itu katanya, penunggang motosikal terbabit yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai operator kilang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk patah paha kiri.
“Ibunya yang berusia 52 tahun pula mengalami kecederaan serius di kepala. Kedua-dua mereka terlebih dulu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan namun pada pukul 3.05 petang, wanita itu disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, kemalangan tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply