Muat naik video sumbang: Zul Ariffin didenda RM30,000

PELAKON Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagram miliknya pada Mac lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia membuat pengakuan itu.

Zul didakwa memuat teaser klip ‘babak panas’ itu untuk siri yang akan ditayangkan di televisyen bertajuk “Perempuan Itu” pada 18 Mac.

Siri itu dijadualkan untuk disiarkan semasa bulan puasa umat Islam pada bulan April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Zul Ariffin tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam dan memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka, selain diiringi peguam dan rakan.

Kira-kira 10 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.30 pagi tadi untuk membuat liputan kes pelakon berusia 36 tahun itu.

Media sebelum ini melaporkan kontroversi timbul apabila pelakon itu didakwa kongsikan video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri, dalam Instagram, baru-baru ini.

Tindakan memuat naik ‘teaser’ drama berkenaan mengundang kecaman warga maya, selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *