Diculik ke Laos, Rosnazirah berdoa setiap hari segera kembali ke pangkuan keluarga

EJEN jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim mendedahkan dia sebenarnya diculik sehingga ke Laos, bukannya kawasan sekitar Thailand.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, selepas mengharungi perjalanan jauh dari Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat dia tahu ditempatkan di sebuah rumah seakan inap desa di sebuah perkampungan di Laos.

Menurutnya, sepanjang perjalanan dari Thailand untuk memasuki Laos, mereka menempuh banyak sekatan jalan raya dan hatinya berdoa agar ditahan di mana-mana lokasi tetapi tidak berlaku sehinggalah mereka tiba di destinasi.

“Setiap hari ketika dalam tahanan saya berdoa agar segera dikembalikan kepada keluarga dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,” kata Rosnazirah, 36, sebagaimana lapor Harian Metro.

Rosnazirah yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu berjaya dibawa pulang ke negara ini pada Khamis lalu sebelum diserahkan kepada keluarga, petang semalam.

Menurutnya, pada hari dia diculik, ada beberapa saksi di sekitar tebing Sungai Golok melihatnya untuk menaiki bot tapi mungkin mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau tidak ingin masuk campur kerana takut.

“Sebaik menyeberangi Sungai Golok, saya dibawa menaiki kereta dan terus menuju ke destinasi yang tidak diketahui, tapi menempuh perjalanan yang lama sehinggalah tiba di sebuah rumah di Laos.

“Sepanjang ditahan, setiap hari saya menangis dan bertanya bila akan dikembalikan kerana saya difahamkan mereka tidak meminta wang tebusan, malah tidak tahu apa motifnya,” katanya.

Rosnazirah berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk bertanya khabar wanita itu, hari ini.

Sepanjang ditahan, Rosnazirah berkata, dia menerima layanan baik daripada kumpulan individu yang menculiknya termasuk menjaga makan minumnya, namun dalam masa yang sama berasa bimbang jika diapa-apakan.

“Dalam hati, saya ada juga ingin menjerit meminta tolong, tapi mengenangkan ia mungkin sia-sia kerana kawasan sekitar adalah sawah padi dan tiada yang faham, saya hanya mampu berdoa sahaja,” katanya.

Kata Rosnazirah, setiap kali ditanya bila akan dihantar pulang, lelaki itu memberi jaminan akan berbuat demikian sambil memintanya bersabar selain memberi tempoh antara tiga minggu hingga sebulan kerana keadaan masih ‘panas’ disebabkan berita mengenai penculikannya tersebar luas.

Sehinggalah pada satu hari, seorang daripada penculik itu memberitahunya ‘you back home’ dan Rosnazirah bertanya ‘when?’ sebelum dijawab ‘today’ oleh lelaki berkenaan.

“Kami menaiki kereta menuju ke Bangkok dan ditahan oleh pihak imigresen (Thailand) sebelum anggotanya perasan wajah saya yang tersebar berhubung kes penculikan menyebabkan kami semua ditahan dan saya dibawa ke depot tahanan imigresen.

“Tidak lama kemudian saya dibawa ke Kedutaan Malaysia di Thailand dan selepas itu saya dapat berhubung dengan keluarga dan proses membawa pulang ke negara ini segera dibuat,” katanya.

Dalam masa yang sama, wanita itu mengakui masih berasa trauma dan meminta diberi masa secukupnya untuk bertenang sebelum dapat memberi penjelasan penuh mengenai kejadian pahit yang dialaminya itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *