Nelayan terapung lebih 15 jam diselamatkan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG nelayan warga Indonesia terapung lebih 15 jam di laut selepas terjatuh dari bot nelayan tempatan di perairan Pulau Sibu, Mersing malam tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima laporan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 8 malam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander (Maritim) Khairul Nizam Misran berkata, IPD berkenaan menerima aduan daripada pemilik bot nelayan warga tempatan, Kuek Ho Hwa, 66, memaklumkan seorang pekerjanya dikenali sebagai Catur, 40 tahun, terjatuh dalam laut.

“Kali terakhir mangsa dilihat atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh laut pada kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, maklumat disalurkan kepada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan sekitar jam 11.50 malam.

Nelayan warga Indonesia yangv terjatuh dalam laut pada malam tadi ditemukan selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan sebuah aset bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Katanya, operasi tersebut melibatkan 30 anggota kesemuanya dengan keluasan sektor pencarian di laut adalah 86 batu nautika persegi meliputi kawasan tenggara perairan Pulau Sibu.

“Mangsa ditemui bot Perikanan PL 87 dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya.

Menurut beliau, mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli, Kota Tinggi untuk rawatan dan tindakan lanjut.

“Mangsa dipercayai jatuhdan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan jatuh pada jam 8 malam tadi,” katanya.

Pihak maritim katanya, merakamkan penghargaan kepada PPM, DOF, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Maritim Tanjung Sedeli dan semua pihak yang terlibat dalam berkenaan.

Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kejadian dan kecemasan di laut menerusi talian kecemasan MERS 999 atau talian pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199401.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *