MKT UMNO sepakat buat PRU-15 tahun ini, rakyat Terengganu cemas ‘Empangan Tasik Kenyir pecah’?

DUA isu penting yang sedang hangat diperkatakan oleh kebanyakan pihak sekarang ini ialah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kemungkinan banjir besar yang bakal melanda negara khususnya melibatkan penduduk di Pantai Timur.

Isu PRU-15 kembali hangat diperbualkan setelah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam kelmarin memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata, berdasarkan keputusan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malah, menurut Ahmad Maslan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu beliau menegaskan keputusan mesyuarat berkenaan merupakan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal lagi untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat persengketaan dalaman politik sesama mereka.

Susulan keputusan MKT UMNO berhubung PRU-15, pelbagai pihak khususnya daripada parti pembangkang mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan UMNO hanya mementingkan diri sendiri.

Sebelum ini kecaman pernah dibuat pihak pembangkang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan partinya sanggup berdepan dengan pilihan raya walaupun jika diadakan pada musim banjir.

Begitulah betapa dahsyatnya politik di negara kita sekarang ini.

Apa yang penulis dapat simpulkan, kebanyakan orang politik lebih mementingkan soal peribadi dengan bertindak sesuka hati sehingga sangup mengetepikan kepentingan dan juga nyawa rakyat.

Itu cerita bab politik, tetapi apa yang lebih menggerunkan apabila penulis semalam ada menerima wash App daripada beberapa pihak berhubung persediaan rakyat Terengganu sekiranya berlaku kejadian empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pecah.

Wash App berkenaan pada awalnya dikongsikan oleh salah seorang pemimpin masyarakat yang hanya menggunakan nama Poksu yang hadir ke taklimat khas Bencana Tasik Kenyir di ILP Marang.

Menurut Poksu, kejadian yang bakal berlaku cukup menggerunkan, cuma cukuplah jika poksu khabarkan sentiasa bersiap siaga dan ikutlah arahan daripada pihak berkuasa jika diminta.

Dikhabarkan kata Poksu mungkin dalam bulan November 2022 hingga Mac 2023 akan berlaku banjir besar.

Amat dibimbangi banjir ini akan mengakibatkan kebocoran pada pintu keluar atau air buang di Tasik Kenyir yang kini masih dalam pembaikian akibat kerosakan semasa banjir Februari 2022.

Dalam taklimat yang disampaikan pihak pengurusan Bencana itu menurut Poksu, jika berlaku kebocoran, dalam masa 5 hingga 8 jam benteng Tasik Kenyir akan mula pecah dan kepala air yang menakung air seluas 360 km akan melanda hampir semua kawasan Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Kawasan Marang bakal menjadi laluan pokok-pokok tumbang di mana Wakaf Tapai, Tambak Baru bakal ditenggelami air setinggi lima hingga enam meter manakala Pekan Bukit Payung pula air meningkat setinggi 16 meter.

Bagaimanapun dalam taklimat tersebut, pihak pengurusan bencana meminta orang ramai tidak panik, sebaliknya diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat pula meminta agar orang ramai tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan ‘Empangan Kenyir pecah’ pada musim Monsun Timur Laut kali ini kerana ia hanyalah bersifat ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.

Hafiah berkata, taklimat NADMA sebelum ini adalah sebagai pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.

Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.

Justeru beliau berharap orang ramai jangan panik kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengatakan bahawa empangan Tasik Kenyir masih terkawal dan tidak akan pecah.

Sebaik menerima dan membaca washapp dan penjelasan tersebut penulis termenung seketika memikirkan apa akan terjadi kepada rakyat Terengganu sekiranya mala petaka ini benar-benar berlaku?

Persoalannya, adakah pemimpin politik kita sedia maklum tentang perkara ini dan apakah tindakan yang sedang mereka lakukan?

Sepatutnya kebimbangan rakyat seperti ini perlu diberikan keutamaan berbanding ketetapan dan keghairahan untuk mengadakan PRU-15.

Ia penting kerana ketika rakyat sedang melalui musibah mereka tidak lagi berminat memikirkan hal sekeliling, apatah lagi keluar untuk membuang undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *