PDRM nafi ada keluar amaran van putih, penjualan organ

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung penjualan organ di Malaysia.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej bertajuk ‘Amaran kepada semua ibu bapa atau penjaga harga organ di Malaysia’ itu tular di media sosial.

Katanya,  ia turut menyenaraikan harga jualan jantung, buah pinggang, mata, paru-paru dan hati.

Menurut beliau, mesej terbabit mendakwa kononnya pihak Bukit Aman (PDRM) mengeluarkan amaran kepada ibu bapa supaya berhati-hati dengan dua kenderaan berwarna putih.

“Kenderaan itu dikatakan terbabit dengan kegiatan penculikan serta penjualan organ terutamanya bagi kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, sedangkan PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran seperti mana mesej tular itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga kini katanya, tiada laporan polis diterima khusus, membabitkan dua kenderaan seperti dinyatakan dalam mesej tular berkenaan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh serta tidak membuat perkongsian sebarang hantaran atau mesej di aplikasi media sosial tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *