YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, boleh menolak nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Lapor Berita Harian, Pensyarah Undang-Undang dan Polisi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, menggariskan empat faktor yang boleh dijadikan asas kepada penolakan Seri Paduka untuk tujuan membubarkan Parlimen.
Pertama katanya, Perdana Menteri ketika ini tidak mewakili sebuah parti atau gabungan parti secara ‘solid'(kukuh), dengan amalan sebelum ini nasihat Perdana Menteri sudah dianggap mewakili Kabinet tanpa perlu dipersoalkan.
“Namun kini, jika Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota jemaah menteri yang mewakili kerajaan.
“Maka nasihat Perdana Menteri mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara kolektif sedangkan Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep ‘tanggungjawab bersama’ sepertimana di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebab penolakan kedua menurut laporan itu kata Dr Muhammad Fathi, sebagaimana keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak mustahil nasihat Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen juga ditolak berasaskan kepentingan awam.
“Kepentingan awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada musim tengkujuh dan faktor pembaziran jika PRU di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri.
“Faktor ketiga, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang mungkin tidak membubarkan Parlimen serta-merta walau pun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah seperti peruntukan Perkara 32,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor keempat penolakan pembubaran disebabkan rakyat terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan PRU sebelum urusan belanjawan negara tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan, serta risiko pembaziran akibat pilihan raya tidak serentak adalah satu langkah tidak popular dan bertentangan dengan sentimen umum rakyat.
“Sebarang tindakan Yang di-Pertuan Agong yang selari dengan kehendak rakyat sukar dipersoalkan walau pun ia kelihatan luar biasa,” katanya.
Maka, mengambil kira empat faktor itu, beliau menjangkakan tidak mustahil nasihat pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak, jika ia benar-benar berlaku.
“Adalah lebih baik bagi Perdana Menteri untuk mengutamakan keputusan Kabinet berbanding keputusan partinya.
“Jika Yang di-Pertuan Agong pernah menolak nasihat Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020, maka tidak mustahil baginda juga menolak pembubaran Parlimen jika dinasihati oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau mendakwa, sungguhpun Kabinet tidak setuju pembubaran dilaksanakan, namun tidak mustahil Perdana Menteri akan bertindak juga mengikut kehendak partinya yang mahukan Parlimen dibubarkan segera.
Katanya, jika mengikut konvensyen Perlembagaan dan kefahaman peruntukan Perlembagaan secara literal iaitu Perkara 55(2), Yang di-Pertuan Agong perlu membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40.
“Berbeza dengan pembubaran akibat hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) dan 40(2)(b) yang boleh dilakukan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dalam situasi pelbagai parti menguasai kerajaan negeri, katanya, maka langkah yang paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti berbeza berkaitan waktu pembubaran Parlimen dan DUN.
Leave a Reply