Lelaki dipenjara 17 tahun sebabkan kematian rakan sekerja OKU

SEORANG pekerja kedai barangan terpakai yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian ke atas rakan sekerjanya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Raventiran, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Okt 2019.

Tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, namun mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Raventiran didakwa dengan niat menyebabkan kematian terhadap R.Vijaya Kumar, 47, di sebuah premis di Jalan Sungai Besi, Cheras di Kuala Lumpur antara 1.30 pagi hingga 12.34 tengah hari pada 31 Okt 2019.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala peguam Stanley Clement Augustine mewakili tertuduh.

Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 Mei 2021.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *