Guru Besar SJKT direman buat tuntutan palsu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG guru besar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Skudai, Johor Bahru direman selama sehari selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,583, Februari lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Tiffany Chin Phin Yuan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Perintah reman itu dibuat itu bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9.05 lagi dengan berpakaian lokap berwarna oren serta tangan bergari dan diiringi dua Pegawai SPRM.

Tertuduh yang merupakan seorang wanita berusia 57 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 2 petang, semalam.

Difahamkan, tertuduh telah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan dan minuman serta barangan bagi Program Ceramah Pembangunan Nilai Murni dalam Pendidikan Moral 2022 yang mana bekalan itu tidak dibekalkan dan program itu juga tidak dilaksanakan.

Tertuduh diwakili Peguam, K. Bharathi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *