PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom pagi ini untuk menghadiri perbicaraan hari pertama pertuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya.
Ebit tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi, menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam selain diiringi beberapa kenderaan lain.
Mengenakan baju kemeja serba hitam serta berkopiah putih, Ebit yang ditemani peguam serta sekumpulan individu kelihatan tenang dan memberikan senyuman ketika memasuki pintu utama mahkamah.
Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.
Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Liew berlangsung 27 hingga 30 September.
Terdahulu, pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan Ebit dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan. Ebit didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan lapor BH Online.
Leave a Reply