Suri rumah didakwa buat laporan palsu anak dipukul warden madrasah

SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah pertubuhan kebajikan milik badan bukan kerajaan (NGO) pada 21 Ogos lalu.

Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut kertas pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis yang diketahuinya palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, pada 21 Ogos.

Justeru dia didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Peguam mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina adalah suri rumah dan suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.

Majistret kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin selain turut berharap agar tertuduh tidak mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengganggu kes dan perbicaraan yang adil.

Zuraina Zamri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu mengenai dakwaan anaknya didera ala militan di sebuah Madrasah di Shah Alam selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pada 21 Ogos lalu, wanita berkenaan membuat laporan anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu dia mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.

“Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

“Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dipukul.

“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *