SEORANG lelaki yang melarikan seutas rantai emas dianggar bernilai hampir RM30,000 sebagaimana video tular di media sosial sebenarnya sudah ditahan kira-kira sejam selepas melakukan jenayah berkenaan.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang Khamis lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas di Jalan Putra, Mergong, Alor Setar menunjukkan suspek berpura-pura sebagai pelanggan melihat rantai tangan emas seberat 99.34 gram.
Klip berdurasi 1 minit 32 saat mengenai kejadian berkenaan tular menerusi aplikasi TikTok sejak pukul 8.30 malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada hari sama, sekitar pukul 6.35 petang.
“Siasatan awal pihak polis mendapati suspek seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun sebelum itu datang ke premis berkenaan, kononnya mahu membeli barang kemas.
“Namun dia secara tiba tiba melarikan diri bersama seutas rantai tangan emas anggaran berat 99.34 gram dari premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Shukri dalam laporan itu berkata, jurujual kedai emas terbabit segera mengejar suspek sebelum menghubungi polis yang kemudian menggerakkan pasukan dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Alor Setar ke lokasi.
“Orang awam membantu menahan suspek di lampu isyarat Tambang Badak, di sini, sebelum dia diserahkan kepada polis yang melakukan tangkapan semula. Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 26 September untuk membantu siasatan,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek, iaitu Volkswagen MK7 untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, rantai emas itu dianggarkan bernilai hampir RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply