MENYEDARI kecenderungannya bergaduh dan bertumbuk di sekolah tidak mendatangkan sebarang manfaat, atlet Sarawak Jackson Chambai Ikeh memutuskan untuk menyertai sukan tinju seawal usia 12 tahun.
Hari ini pemuda berusia 21 tahun itu merangkul emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menerusi acara fly 48-51 kilogram (kg) di Kompleks Futsal Malaysia di sini.
“Masa sekolah selalu gaduh, lagi-lagi masa itu berdarah panas asyik nak bertumbuk je. Bertumbuk di luar tak berguna, lebih baik saya main tinju.
“Jadi 2013 saya mula main tinju dengan jurulatih pertama saya Joseph Harry,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas perlawanannya hari ini Jackson yang menjadikan petinju Kazakhstan Genandy Golovkin sebagai idolanya berkata beliau hanya fokus kepada strategi untuk membuat serangan balas terhadap pihak lawan.
“Saya sangat puas hati pada pusingan pertama tapi pusingan kedua saya tak puas hati sebab pihak lawan suka peluk saya, jadi saya tak dapat nak buat serangan,” katanya.
Jackson mempamerkan gerakan pantas untuk menundukkan pencabarnya dari Wilayah Persekutuan, Mohamad Hakimi Sumadi 5-0.
Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Aidil Ashraf Abdul Razak daripada Johor dan Muhammad Mukhriz Khan Muzafar Khan yang mewakili Pulau Pinang.
Sementara itu, Sarawak turut muncul juara acara Feather 54-57kg menerusi jaguhnya Daeloniel Mcdelon Bong.
Daeloniel yang dikenali sebagai Kilat Boy, menang mudah ke atas petinju Wilayah Persekutuan Alif Akmal Muhamad Asri 5-0, sementara gangsa menjadi milik Sheikh Rahmatullah Ibrahim daripada Pulau Pinang dan atlet Sabah, Mohammad Fairul Yee Abdullah. – BERNAMA
Leave a Reply