JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program pengusiran pulang seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.
Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berusia antara 23 bulan hingga 69 tahun itu melibatkan 97 lelaki, 60 wanita dan 51 kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Sandakan.
Beliau berkata, kesemua PATI itu sebelum ini ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.
“Oleh itu semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja (untuk bekerja di Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Operasi pengusiran ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah.
“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI etelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya.
Leave a Reply