PEJUANG menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) melakukan reformasi sepenuhnya ketika berkuasa, dan menganggap tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Husamudin berkata, sepajang 22 bulan pakatan itu berkuasa ia berjaya menunaikan 53 janji dalam manifesto.
Menurutnya, pada Disember 2019, menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata, sebanyak 60 peratus janji PH dalam pilihan raya sudah ditunaikan.
Baki janji itu katanya, terpaksa ditunda kerana negara berdepan cabaran fiskal yang lemah dan cabaran ekonomi. Masalah ini turut diakui sendiri presiden PKR itu.
“Jangan lupa apabila ia berkaitan dengan urusan kerajaan, ia adalah tanggungjawab bersama.
“Andai Dr Mahathir dipersalahkan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PH lain juga perlu dipersalahkan,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri itu.
Malam tadi, Anwar berkata, kerajaan PH tidak dapat melaksanakan reformasi sepenuhnya kerana ia diketuai oleh pemimpin yang “bukan reformis”.
Katanya, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketujuh, kembali kepada politik perkauman yang bertentangan agenda PH yang berbilang kaum.
Ulya berkata, Anwar hanya mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab dan tidak berani berdepan kebenaran serta realiti.
Leave a Reply