Warga emas maut nahas empat kenderaan

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG lelaki maut, manakala lima termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Sidam Kiri, Kampung Banggol, di Sungai Petani, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dan berasal dari Taman Angsana, Kulim, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, mangsa sedang meriba cucunya itu di kerusi penumpang belakang ketika kejadian.

Empat mangsa lain yang dilaporkan mengalami luka dan kecederaan ringan termasuk bayi terbabit, manakala pemandu lori berusia 51 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan empat buah kenderaan iaitu dua kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

Menurut beliau, ketika kejadian kereta jenis Toyota Corolla dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Sidam Kiri manakala tiga kenderaan lain dipandu dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Corolla yang dipandu laju seorang wanita berusia 25 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dan kereta Proton Saga.

“Dalam pada itu, sebuah motosikal yang berada di belakang lori tersebut tidak sempat mengelak sebelum hilang kawalan dan terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidy berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang merupakan penumpang belakang kereta Toyota Corolla disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat

“Lima lagi yang cedera menerima rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *