PAS kekal dengan pendiriannya sebelum ini bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan pada tahun ini.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, pandangan itu telah disuarakan sejak sekian lama, dan akan diulangi dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, jika perkara itu kembali berbangkit.

Katanya lagi, pandangan Pas berlandaskan kenyataan pihak berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa beberapa negeri berkemungkinan dilanda banjir besar pada penghujung tahun ini.

“Kita (Pas) beri pandangan bahawa dalam suasana hari ini, tak perlu diadakan PRU, terutamanya dekat banjir, yang kita tahu dah, akan ada banjir. Nanti ia akan menyukarkan kalangan agensi kerajaan untuk menguruskan pilihan raya (sewaktu banjir),” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Menara Tabung Haji, di sini hari ini.

Idris mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau akan membangkitkan soal penentuan tarikh PRU dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau (Tan Sri) Muhyiddin kata nak PRU15 cepat, tidak kira sebab, kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan UMNO.

“Kita akan bawa dalam mesyuarat Kabinet. Secepat mungkin, mungkin lebih mendahului daripada Top 5. Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum saya berlepas ke UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Mungkin saya boleh bawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini,” kata Perdana Menteri pada Selasa.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Pas juga kekal konsisten dengan pendirian sebelum ini bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri di bawah parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, tidak akan dibubarkan, sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here