Ucapan Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan Pemuda BN di Kuala Lumpur Sabtu lalu, yang berkata BN sanggup meredah banjir untuk berkempen jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh juga dikecam netizen di laman sosial.
Rata-ratanya kecewa dengan BN dan UMNO diketuai Zahid apabila asyik memikirkan kepentingan politik sendiri berbanding dengan cabaran yang lebih besar iaitu isu ekonomi ketika ini dan musibah cuaca yang dijangka pada bulan November.
Selain itu, menggunakan alasan akar umbi mahukan PRU15 diadakan segera juga adalah tidak benar kerana keutamaan rakyat bawahan bukanlah kepada pilihan raya.
Rakyat bukannya mendapat manfaat jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat ini kerana mereka tiada kepentingan peribadi.
Jika difikirkan secara logik akal, adalah tidak munasabah untuk mengadakan pilihan raya pada waktu banjir kerana sekolah yang dijadikan pusat mengundi akan digunakan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.
Membubarkan Parlimen dalam keadaan negara akan menghadapi musibah cuaca juga menyukarkan proses pengagihan bantuan dan operasi menyelamat mangsa banjir.
Jika disenaraikan segala keperluan bagi memenuhi tuntutan Zahid itu, banyak masalah yang akan timbul tetapi Zahid seolah-olah tidak peduli semua itu asalkan matlamat politik akan tercapai.
Sepatutnya isu nilai ringgit yang makin merosot saban hari dan dijangka jatuh lagi ke paras terendah menjadi keutamaan BN ketika ini.
Tindak-tanduk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang makin aktif untuk menjadi pemimpin politik BN berbanding menyelesaikan isu kejatuhan ringgit juga amat mengecewakan.
Kenyataan beliau sebelum ini yang berkata kerajaan tidak terlalu menumpukan kepada nilai ringgit berbanding pertumbuhan ekonomi juga adalah kenyataan yang boleh dipertikaikan.
Bagaimana seorang tokoh kewangan yang berpengalaman luas boleh memberikan pandangan sedemikian sedangkan semua sedia maklum bahawa nilai ringgit amat besar kesannya kepada ekonomi.
Tidakkah sesuatu yang merisaukan apabila ringgit makin merosot di mana ia akan menyebabkan harga makanan dan produk lain melambung kerana Malaysia amat bergantung kepada import barangan dari luar.
Ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika adalah isu besar kerana boleh dikatakan semua jual beli antarabangsa kita menggunakan mata wang itu sebagai perantara.
Kalau pun Tengku Zafrul dan pimpinan BN mahu menunjukkan imej baik mengenai ekonomi negara, ia perlulah dibuat dengan mengetengahkan beberapa langkah strategik bagi mengelakkan ringgit terus jatuh.
Ini kerana, kadar dasar semalaman (OPR) yang dinaikkan beberapa kali – yang tujuannya untuk mengukuhkan ringgit tidak menjadi seperti disasarkan kerana pelabur luar masih tidak berminat dengan ringgit Malaysia.
Yang menjadi mangsa ialah rakyat apabila OPR dinaikkan menyebabkan pinjaman bank terus meningkat apabila bank-bank meningkatkan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing.
Dalam keadaan getir seperti ini, walaupun kerajaan Ismail Sabri diibaratkan pada hujung-hujung pentadbiran, mereka sewajarnya berganding bahu dengan parti politik seperti BN menguruskan ekonomi supaya dapat menahan impak semasa.
Tindakan mengutamakan pilihan raya dan mengetepikan cabaran besar ekonomi dan musibah cuaca yang akan ditempuhi hanya menambahkan sengsara kepada rakyat.
Oleh itu, masih belum terlambat buat kerajaan dan parti politik untuk mengetengahkan langkah-langkah sesuai dalam menguruskan isu ekonomi ketika ini berbanding membincangkan soal pilihan raya.
Bentuk segera jawatankuasa yang terdiri daripada pakar ekonomi untuk melihat keperluan dalam mengukuhkan ringgit dan pada masa sama mengurangkan kesan kewangan kepada rakyat.
*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.
Leave a Reply