PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya umum (PRU) pernah diadakan pada November 1999 semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Namun katanya, perkara tersebut tidak pula dijadikan isu besar oleh pembangkang.
Justeru, Presiden UMNO itu mempertahankan pendirian berhubung mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.
Beliau turut membidas pertikaian pembangkang untuk mengadakan PRU semasa November atau Disember yang sememangnya diketahui fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang bencana banjir di beberapa kawasan.
Selain itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak juga pernah diadakan pada 18 Disember 2021.
“Terbaharu tahun lepas PRN Sarawak diadakan. Pembangkang pula tewas teruk.
“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Tun Dr. Mahathir tidak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), selain manifesto mereka gagal laksanakan.
“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN yang memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.
Jelasnya, pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN terus berlangsung dan bermakna BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.
“Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka.
“Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Timbalan Presiden PKR) tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.
“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.
Kelmarin, semasa berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, Ahmad Zahid berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini.
Ahmad Zahid menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.
Bagaimanapun semalam, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyelar kenyataan itu dengan berkata, pelaksanaan PRU-15 ketika negara berdepan banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, ahli politik seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha menghadapi banjir dan membantu rakyat, bukannya fokus 100 peratus untuk memenangi PRU-15.
Leave a Reply