PERBICARAAN kes saman fitnah Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie ditetapkan Mahkamah Tinggi selama dua hari bermula 20 September ini.
Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Zarina atau Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul berkata, pada perbicaraan itu, Fara Mendoza akan memberi keterangan.
“Anak guam, Zarina cuba menyelesaikan krisis undang-undang ini secara mediasi namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.
“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan esok dan lusa untuk prosiding perbicaraan saman ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Zarina, sebelum ini berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.
Ia berikutan dakwaan bahawa Zarina tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik membela nasibnya.
Difahamkan, peguam terdahulu diserang strok dan firma guamannya sudah pun ditutup.
Zarina kemudian membuat tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza.
Pelakon itu menuntut ganti rugi RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan fitnah pada masa hadapan.
Selain itu, Zarina menuntut supaya Fara Mendoza menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan membuat permohonan maaf.
Beliau juga menuntut kos tindakan dan relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Leave a Reply