BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad buat hal lagi, seolah-olah beliau cuba meneruskan kemunculan agresifnya untuk ‘menyerang’ pihak lawan yang tidak ‘sebulu’ dengan menggunakan pelbagai cara.
Kalau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kemunculan kembali pemimpin politik veteran itu menggunakan serangan saraf memfokuskan isu membabitkan rasuah dan pelbagai fitnah terhadap pemimpin UMNO, kini beliau meneruskan pendekatan tersebut dengan mengaitkan Pas sebagai sebuah parti kafir.
Bagi penulis tindakan dilakukan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memporak perandakan parti Islam tersebut, juga parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
Sebagai seorang pemimpin politik berpengalaman, Tun M sudah cukup masak dengan rencah kepimpinan dalam sesebuah parti politik.
Memandangkan PRU15 sudah benar-benar semakin hampir dan banyak pihak mula bercakap mengenainya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Saberi Yaakob sendiri sudah berulang kali memberi bayangan berhubung perkara tersebut.
Namun, hanya Tun M sahaja masih mengatakan bahawa PRU15 tidak sesuai dilaksanakan tahun ini?
Persoalannya kenapa? Siapa Tun M sekarang, adakah beliau masih Perdana Menteri?
Bagi penulis, itulah sebenarnya, antara strategi dan ‘ego’ dimiliki oleh Tun M.
Beliau mahu orang menurut cakapnya dan tidak suka kepada golongan yang cuba membantah.
Sebagai bukti ialah nasib dialami oleh nama-nama seperti Tengku Razaliegh Hamzah, Ghafar Baba, Musa Hitam, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.
Akibat dikatakan tidak mendengar cakap serta tidak ‘sebulu’ dengan Tun M, semua nama terbabit ‘direnjat’.
Penulis percaya, tindakan terbaharu Tun M cuba mengkafirkan Pas kerana dendam lamanya terhadap parti itu yang turut memberi dua pangkat istimewa kepadanya iaitu ‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun” suatu ketika dahulu.
Selain itu tindakan tersebut juga mungkin sebagai usaha untuk merenggangkan ikatan parti itu bersama UMNO dan Bersatu.
Jumaat lalu, Tun M dilaporkan cuba mendakwa Pas kini sebagai parti kafir kerana tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.
Tun M yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu.
Malah beliau menyifatkan dakwaan dibuat terhadap UMNO sebelum ini, memberi gambaran Pas kini bukan lagi parti Islam.
Namun katanya, dahulu Pas kata UMNO parti kafir, macam-macam tuduhan terhadap UMNO tapi tanpa menafikan tuduhan tersebut, mereka bekerjasama pula dengan UMNO.
Apapun, dakwaan Tun M telah mendapat reaksi daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mengatakan
agenda penyatuan ummah dibawa Pas ketika ini sangat diperlukan dalam menyatupadukan parti-parti Melayu Islam di negara ini.
Oleh itu, beliau meminta tidak perlu dibangkitkan lagi isu lama (kafir-mengkafir) tersebut sebaliknya ia perlu terus ke arah penyatuan ummah demi kepentingan Melayu Islam di negara ini.
Manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyelar tindakan segelintir pemimpin politik yang melabel parti tertentu sebagai kafir.
Menurut Anwar, ini kerana, amalan kafir-mengkafir itu bukanlah daripada tradisi dan budaya Islam.
Penulis berharap agar cukup cukuplah pemimpin politik menggunakan strategi kempen tidak bermoral ketika PRU15 nanti kerana rakyat sudah muak dan masak mengenai politik masa kini.
Trend penerimaan rakyat ketika PRU14 dan PRU15 amat jauh berbeza, rakyat sudah serik dan sukar untuk tertipu kali kedua.
Kempen berunsur fitnah dan tidak beradab sudah tidak boleh diterima lagi.
Diharap Tun dan partinya Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak terjerat dengan kempen-kempen seperti itu kerana kelak nanti memerangkap diri.
Leave a Reply