RAKYAT perlu menghargai segala pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjaya membentuk persekutuan Malaysia menggabungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (PMN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin terdahulu mahu melihat kewujudan sebuah negara yang berdaulat, merdeka, harmoni, maju, makmur dan sejahtera.
‘’Hal ini dapat kita capai jika kita terus berpegang pada prinsip saling menghormati, bantu membantu, bertoleransi dan bertimbang rasa antara satu sama lain. Nilai-nilai murni seperti inilah yang membawa kejayaan kepada kita sewaktu berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 sedikit masa dahulu,’’ katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Malaysia merupakan simbol penyatuan rakyat Malaysia daripada pelbagai pelbagai kaum, latar belakang dan keturunan yang sekali gus menjadi tonggak kekuatan negara selama ini.
‘’Marilah kita perkukuhkan kesepaduan Malaysia dengan sentiasa menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan. Sama-samalah kita jaga dan pelihara Malaysia yang kita cintai ini.
Selamat Hari Malaysia,’’ katanya.
Leave a Reply