‘’Pas segar bugar, kekal aktif…Pergimu tak dirindui’’, kata Sanusi

“Kita tanpa Khairuddin, Pas (tetap) segar (dan) bugar, dan (kekal) aktif (serta) lincah di medan politik, medan dakwah dan tarbiah dan pendidikan tanpa Khairuddin, (masih) lincah (dan) tetap aktif tanpa sebarang kelayuan,  Pergimu (juga) tidak dirindui,” katanya.

Demikian komen sinis Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menegaskan, parti itu sentiasa ‘segar-bugar’ dan aktif walaupun tanpa keberadaan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Bercakap kepada wartawan di Alor Setar, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, perjuangan Pas dalam medan dakwah, tarbiah dan pendidikan juga tetap ‘lincah’ seperti sebelum-sebelum ini.

Berhubung cadangan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu supaya pemimpin UMNO dan Pas membaiki hubungan dalam Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, perkara itu sudah dilakukan pimpinan dah ahli-ahli Pas dengan lebih awal termasuk turut menjadi usul yang dipersetujui dalam Muktamar Pas Pusat Kali-68 awal bulan ini.

Status FB… Harap-harap tak ada yang ‘koyak’

Sementara itu Sanusi berkata, beberapa status yang dimuat naik di laman media sosial Facebooknya kebelakangan ini, hanyalah seloka dan gurauan semata-mata tanpa ada kaitan dengan yang hidup mahu pun mati.

Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, seloka serta gurauan yang dimuat naiknya itu bagaimanapun terselit mesej tertentu untuk dijadikan bahan berfikir.

“Tafsir sendiri-sendirilah (status dimuat naik di Facebook), tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Semua hantaran itu seloka dan gurauan saja tetapi ada selit mesej dan bahan untuk berfikir.

“Janganlah kita seronok kerana menang dan berdukacita kerana kalah tanpa memikirkan ibrah atau pengajaran daripada kejadian itu. Kena fikir dan renung balik yang menang siapa dan yang kalah siapa?

“Selain itu kena tengok juga kenapa kita kalah dan pasal apa kita menang? Begitu juga macam mana boleh menang?,” katanya.

Beberapa status dimuat naik Muhammad Sanusi kebelakangan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air setelah beliau secara berterus-terang menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC dalam final Piala FA menentang JDT, Sabtu lalu.

Selepas mengucapkan tahniah sambil menempelak pemain JDT kerana didakwa tak pandai cakap Johor, Muhammad Sanusi hari ini menukilkan pula pantun berbunyi:-

Kalau takut dilambung ombak

Jangan berumah di tepi pantai

Disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak

Disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai. 

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau tidak mempunyai niat untuk memecah belahkan mana-mana pihak dengan status-status dimuat naiknya itu.

“Tak adalah (niat memecah-belah), nak pecah belahkan siapa? Siapakah yang terpecah dan terbelah dengan pantun itu? Itu cuma bahan berfikir. Harap-harap tak ada yang ‘koyak’ dan kalau ‘terkoyak’, pandai-pandailah tampal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *