Oleh BADLISHAH MAT

PADA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Kedah antara negeri yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang dan terlepas kuasa memerintah kepada Pakatan Harapan (PH) selama lebih dua tahun.

Sepanjang tempoh itu, Pas Kedah berada di blok pembangkang bersama UMNO yang hanya memiliki dua kerusi. Menteri Besar Kedah ketika ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada waktu itu.

Sudah tertulis rezeki Pas pada 17 Mei 2020, parti itu mendapat ‘mandat’ untuk mengetuai Kerajaan Negeri Kedah kerana memiliki 15 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU-14.

Pas mendapat sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah bersama-sama ‘sokongan’ dua wakil rakyat UMNO.

Kredibiliti kerajaan Kedah ketika ini cukup baik dengan pencapaian dalam sejarah merekodkan kemasukan pelaburan yang tinggi hasil langkah menambah baik dan memudahkan urusan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Dengan rekod berkenaan, tidak mustahil Pas bersama Bersatu di bawah gabungan PN mampu mengorak langkah lebih cemerlang sekiranya terus diberikan mandat pada PRU-15 kelak walaupun ada penetapan bahawa negeri itu tidak akan membubarkan DUN sebelum Mac 2023.

Andai sudah tertulis Pas dan Bersatu bergerak bersama-sama pada pilihan raya akan datang, tidak mengapa kerana ‘ketidaksudian’ UMNO di Kedah tidak pun menjejaskan perjalanan PN untuk mempertahankan negeri itu.

Kedua-dua parti itu ada kekuatan dan pengalaman tersendiri serta masing-masing juga sudah berpengalaman menjadi kerajaan. Pendek kata kalau UMNO Kedah tarik sokongan sekarang pun tidak jejas apa-apa.

Pas boleh terus menang di Kedah kerana bukti PRU-14 walaupun tidak menyertai mana-mana gabungan besar ketika itu, hampir separuh daripada 36 kerusi DUN di Kedah dimenangi mereka.

Muhammad Sanusi juga bukan sembarangan Menteri Besar, beliau amat popular dan terkenal bukan sahaja di seluruh Kedah tetapi segenap pelosok tanah air sehingga ke Johor Bahru.

Keperibadian ADUN Jeneri itu bersama pasukannya juga bukan setakat membantu Pas dan PN di Kedah tetapi menjadikan Kedah lebih digemari orang ramai terutamanya para pelabur.

Dalam soal politik, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang menyaksikan Kedah menjadi tuan rumah pada 1 hingga 4 September lalu menambah keyakinan parti itu untuk bersama Bersatu dan parti komponen lain dalam PN.

Malah, pendirian untuk kekal terbuka menjalin kerjasama dengan parti selain komponen PN (UMNO) kecuali PH selagi hari penamaan calon belum tiba membuktikan jiwa besar mereka untuk mengembalikan pemerintahan Melayu-Islam.

Tetapi melihat sikap UMNO yang berkeras ‘tidak mahu’, ‘tidak sudi’, ‘tidak endah’ dan bermacam tidak lagi. Usahlah Pas dan Bersatu membuang masa untuk memasuki pilihan raya di negeri ini tanpa mereka.

Kerana hakikatnya, segelintir pimpinan UMNO sendiri yang merayu dan berharap Muafakat Nasional (MN) dipertahankan kerana sukar untuk parti itu menang tanpa sokongan Pas walaupun di sebalik keyakinan menang 15 kerusi DUN di Kedah nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here