Anggota polis antara dua maut dalam nahas empat kenderaan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG anggota polis antara dua yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, Muar hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 4.48 pagi.

Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dan BBP Bukit Gambir dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Sebuah kereta, sebuah lori dan dua treler terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan dua maut di Kilometer 134.7 Lebuhraya Utara Selata, arah Selatan, Pagoh, hari ini

Komander Operasi dari BBP Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abd Rahman berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Wira, sebuah lori kontena jenis Hino membawa muatan air kotak, dua treller membawa muatan besi dan kayu palet.

“Terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut, tiga daripadanya warga tempatan. Akibat kemalangan itu dua mangsa tersepit dalam lori dan kereta tersebut.

“Mangsa yang maut adalah anggota polis, Senawi Jelani, 55, merupakan mangsa dalam kereta tersebut manakala seorang lagi adalah pemandu lori, K. Gunalan, 45,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara dua lagi mangsa katanya, lagi A. Annadurai, 20, yang merupakan warganegara India dan Zamri Hashim, 29, cedera dan mereka diserahkan kepada pegawai perubatan untuk menerima rawatan.

“Operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 8.30 pagi,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *