Najib tidak pernah saman Ambank semasa jadi pemegang akaun – Saksi

SEORANG pegawai Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memfailkan sebarang saman terhadap bank kerana salah mengendalikan akaunnya semasa bekas perdana menteri itu menjadi pemegang akaun.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang memegang jawatan itu sejak 2015 berkata Najib juga tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai penyata banknya kepada bank.

“Setiap bulan, bank akan menghantar penyata bank yang menyenaraikan semua transaksi yang dibuat dalam akaun kepada pelanggannya. Sepanjang pengetahuan saya, malah semasa kes SRC International, tiada sebarang pertikaian atau aduan dibuat oleh Datuk Seri Najib berhubung penyata akaun bank beliau,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib yang berdepan pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sri Ram: Antara 2015 dan 2018, adakah tertuduh memfailkan sebarang prosiding terhadap bank kerana salah mengendalikan akaunnya, pada pengetahuan anda?

Uma Devi: Pada pengetahuan saya, tidak.

Terdahulu, Sri Ram menyoal saksi mengenai keterangan beliau semasa perbicaraan SRC International, yang beliau akui kenyataannya itu telah diterima dan tidak pernah dipertikaikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Minggu lepas, Uma Devi memberi keterangan bahawa Najib memegang lima akaun dengan Ambank, satu akaun simpanan berakhir dengan nombor 694, dan empat akaun semasa, iaitu AmIslamic (berakhir dengan nombor 481), AmPrivate Banking- 1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) dan AmPrivate Banking-MY (906).

Pada 10 Dis 2019, Najib memfailkan saman terhadap AmBank Islamic Bhd dan bekas Pengurus Perhubungan Pelanggan Joanna Yu Ging Ping berhubung pengurusan akaun di bawah namanya iaitu akaun berakhir 694, 880, 898 dan 906 yang didakwa Najib diuruskan oleh AmBank tanpa pengetahuannya dan digunakan untuk mengalihkan dana daripada SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Januari lepas setelah mahkamah memutuskan Najib sedang berusaha untuk meneruskan saman sivilnya untuk menjejaskan prosiding dan penemuan jenayah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes jenayah kes SRC International.

Terdahulu, Uma Devi memberi keterangan bahawa Najib menerima RM1.25 juta pembayaran faedah yang dikreditkan ke akaun simpanan peribadinya berakhir dengan nombor 694 pada 2011 sahaja.

Merujuk kepada penyata bank Najib semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata bayaran itu diterima dalam 11 bahagian sepanjang tahun ke akaun ‘694’, antara Februari hingga Disember 2011.

“Saya mengesahkan terdapat beberapa kemasukan melibatkan faedah bagi 2011 dan jumlah yang diterima adalah berbeza- beza mengikut baki semasa akaun pada setiap bulan. 

“Ini berdasarkan kod 202000 yang tertera di dalam status setiap transaksi kemasukan faedah,” katanya dan menambah akaun ‘694’ tersebut dibuka pada 13 Jan 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *