Kerajaan pertimbang moratorium khas untuk PMKS

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempertimbangkan mengenai pemberian moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, untuk itu sesi perbincangan akan diadakan dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

“Kita akan bincang …saya tidak boleh cakap sekarang…kita kena berbincang dengan Kementerian Keusahawanan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan,” katanya ringkas kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ismail Sabri mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang mencadangkan perkara itu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Muhyiddin dilaporkan berkata, sektor PMKS kini menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

“Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

“Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *