PENYANYI dan pelakon, Dafi menafikan pemilihannya untuk membintangi filem aksi ketenteraan, Malbatt Misi Bakara adalah disebabkan dia anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaliknya Dafi, 34, atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri berkata, status dimiliki itu bukan alasan dia ditawarkan berlakon dengan tujuan menggunakan namanya.
Menurutnya, peluang diberikan itu diterima dan anggap ia sesuatu yang berbeza selepas 15 tahun terbabit dalam bidang seni.
“Saya harap orang tak salah faham apa saya cakap, tapi saya tak pernah rasa ada apa-apa keistimewaan dan sebagainya.
“Kalau ada orang yang nak bagi saya peluang dan layanan istimewa tanpa saya minta, saya terima saja. Perkara itu bukan untuk saya nafikan, tapi saya patut bersyukur dan berterima kasih.
“Terima kasih kepada ayah saya sebab bekerja keras. Saya positif saja, kita tumpang sikit saja. Tak apa orang pandang negatif, sebab orang akan bercakap apa saja. Apa yang penting saya tak meminta-minta benda itu. Kalau orang nak bagi kita elok-elok, takkan nak kata jangan. Saya okay saja kalau sebab anak PM, sementara ada masa rebutlah peluang,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Mengulas lanjut pembabitannya dalam filem itu, Dafi dalam laporan itu berkata, dia percaya ditawarkan berlakon filem berkenan kerana kerjasama dengan pengarah Malbatt Misi Bakara, Adrian Teh.
“Soal menggunakan saya, sebenarnya Adrian dah ada hubungan baik dengan tentera dari filem Paskal lagi. Saya dapat ‘job’ ini sebab saya berlakon dalam filem Ada Hantu, itu projek pertama saya dengan Adrian.
“Hubungan kerjasama kami dah ada. Mungkin dia rasa saya okay dan sebab itu panggil lagi,” katanya.
Selain Dafi, filem Malbatt Misi Bakara turut menampilkan lakonan Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G.
Leave a Reply