NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berpendapat, hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) terus menghadapi tentangan daripada parti itu.

“Mungkin sudah terlambat untuk memproses permohonan Muda untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu.

“Untuk menyertai parti komponen, saya rasa ia bukan waktu yang sesuai kerana ia memerlukan beberapa jangkaan.

“Untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu, parti komponen sedia ada perlu diyakinkan bahawa parti baru itu berkongsi ideologi dan nilai Pakatan Harapan yang sama,” katanya dalam temu bual dengan Malaysiakini dan Kinitv.

Bagaimanapun, Ahli parlimen Tanjung Malim itu terbuka kepada kemungkinan Muda yang baru ditubuhkan untuk bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya.

Katanya, PH lebih memilih kerjasama bersama Muda berbanding parti lain seperti Warisan dan Pejuang.

“Tiada masalah kerjasama (dengan Muda) cuma dalam bentuk apa,” katanya.

Chang berkata PH harus lebih memberi tumpuan kepada perkara berkaitan pilihan raya umum seperti rundingan kerusi, menetapkan naratif, strategi dan manifesto pilihan raya.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.

Ini selepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pada Selasa menyatakan hasrat parti itu untuk menyertai PH.

Walaupun DAP dan Amanah kelihatan menerima idea penyertaan Muda ke dalam PH beberapa pemimpin PKR kelihatan keberatan.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini pada Mac menimbulkan keraguan, apabila kedua-dua calon PKR dan Muda bertembung di Larkin.

“Terdapat banyak kebimbangan. Saya rasa antara yang utama ialah kesan terhadap akar umbi kita kerana pilihan raya negeri Johor.

“Mereka (Muda) telah bertanding tiga penjuru dengan kami (PKR) di Larkin dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak pertembungan tiga penjuru dengan mereka di kerusi Puteri Wangsa,” katanya.

Sementara itu, pengalaman bersama Bersatu yang menjadi sebahagian gabungan PH pada PRU-14 telah menyebabkan beberapa pemimpin PKR ‘berat hati’ menerima idea kerjasama dengan parti-parti selain DAP dan Amanah.

Ahli Parlimen Selayang William Leong memberitahu Malaysiakini bahawa kebimbangan ini juga perlu diambil kira sebelum menerima Muda.

“Terutama selepas percubaan kami yang gagal pada (PRU-14) apabila kami memasukkan Bersatu, yang ideologinya berbeza dengan kami.

“Kita lihat Muda dan Syed Saddiq, sukar untuk memutuskan hubungannya dengan Mahathir.

“Ini perkara yang diperhatikan ramai orang,” katanya.

Syed Saddiq dilihat oleh sesetengah pihak sebagai terlalu rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang secara meluas tidak diyakini oleh barisan kepimpinan PKR.

Ini susulan dakwaan peranan Dr. Mahathir dalam meruntuhkan kerajaan PH pada 2020 dan dikatakan tidak mematuhi perjanjian penyerahan kuasa dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli parlimen Muar dan bekas pendebat kebangsaan itu dilihat sebagai anak didik Dr. Mahathir dalam bidang politik dan memegang jawatan menteri Kabinet era PH.

Bagaimanapun, selepas keruntuhan PH, Dr. Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang berteraskan orang Melayu manakala Syed Saddiq pula menubuhkan Muda yang menerima keanggotaan pelbagai kaum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here