Penduduk Klang diminta waspada amaran air pasang besar bermula bulan ini hingga Disember

PENDUDUK daerah Klang diingatkan untuk berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bermula September hingga Disember ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan di Facebook berkata, fenomena terbabit boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.

Katanya, bacaan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah paras tertinggi dengan 5.5 meter pada 7.18 pagi Isnin.

“Pada 11, 13 dan 28 September ia dijangka berada pada paras 5.4m sekitar pukul6.42 pagi hingga 7.49 pagi manakala pada 14, 27 dan 29 September, paras air laut diramalkan berada pada paras 5.3m sekitar pukul 6.52 pagi hingga 8.16 pagi,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua penduduk di daerah terbabit agar sentiasa peka dengan keadaan semasa.

“Sentiasa dapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.”

“Sekiranya terdapat laporan berhubung kejadian bencana warga Klang boleh menghubungi talian kecemasan PDT Klang di talian 010-8691067 atau 03-33716700,” katanya memetik laporan FMT.

Menurutnya, Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang akan turut dibuka bermula esok.

“Penduduk digalakkan sentiasa bersedia dengan satu beg kecemasan bencana (ready2go) di rumah.

“Sepanjang tempoh ini, penduduk dinasihatkan bersedia dengan beg khas dengan meletakkan barang seperti dokumen penting, wang tunai, air mineral, kit perubatan, kit kebersihan, tuala, pakaian, telefon bimbit,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *