Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kejayaan Md. Aliff Danial Muhammad Asri dalam sukan permotoran antarabangsa akan menjadi pembakar semangat kepada anak muda untuk mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.

Ahli Parlimen Pagoh itu berharap, kejayaan Md. Aliff Danial yang merupakan anak kelahiran Kampung Sebasu, Paya Redan, Pagoh, akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada mereka.

“Hari ini saya berpeluang bertemu Md. Aliff Danial, 19, yang merupakan ikon pemotoran cub prix di Bengkel Motor Asri kepunyaan bapanya.

“Saya kagum mendengar cerita Aliff Danial, satu-satunya pelumba dari Malaysia yang terpilih menyertai Yamaha VR46 Master Camp di Tavullia, Itali pada bulan Jun lalu.

“Dia bersama empat lagi pelumba lain dari seluruh Asia berpeluang menjalani pelbagai latihan di akedemi milik Valentino Rossi itu,” katanya dalam Instagram miliknya.

Bekas Perdana Menteri itu mengucapkan tahniah kepada Md. Aliff Danial atas kejayaan yang dikecapinya.

Sementara itu, semasa di kampung itu beliau sempat bersarapan dengan penduduk setempat di Warung Salina Rossa yang turut disertai oleh kumpulan bacaan yasin dan marhaban kampung tersebut dan Kampung Tengah.

“Saya sempat bertanya khabar dan menjawab pertanyaan beberapa penduduk berhubung isi-isu semasa termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Saya menjelaskan sebagai Ahli Parlimen Pagoh, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), agenda membantu rakyat merupakan agenda nombor satu bagi parti ini,” katanya.

Jelasnya, ini termasuk usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kemahiran usahawan kepada orang muda dan graduan universiti.

Langkah itu katanya, perlu kerana pihaknya sedar ramai yang terkesan dengan impak pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu termasuk golongan muda yang kehilangan pekerjaan.

“Pada sebelah petang pula, saya hadir bagi menyampaikan hadiah acara sukaneka masyarkat Orang Asli di Kampung Sentosa.

“Acara sukaneka itu meriah kerana diadakan sempena majlis perkahwinan satu pasangan Orang Asli di situ.

“Saya turut menunaikan permintaan masyarakat di situ untuk memiliki sebuah balai raya dengan memberi peruntukan sebanyak RM100,000 serta menyampaikan sumbangan bot dan enjin bot untuk membolehkan mereka keluar mencari rezeki di sungai,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here