AHLI Jawatankuasa (AJK) Pusat Tertinggi DAP Sheikh Omar Ali berpendapat, tidak adil menghukum Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Muda sebelum menyertai Pakatan Harapan (PH) hanya kerana isu kesetiaan bersifat yang ‘subjektif’.
Menurut beliau, banyak faktor mempengaruhi seseorang wakil rakyat untuk berpaling tadah.
“Sebagai contoh terdapat sebilangan kecil wakil rakyat dalam PH turut melompat parti atas sebab kepentingan peribadi dan bukannya parti.
“Sebab itu ada pepatah menyebut, dalam politik ini ialah ‘seni segala mungkin’. Segala benda mungkin, segala benda tidak semestinya ‘fixed’, kadangkala ia subjektif.
“Tidak adil kita mengadili Muda dan sesiapa sahaja kerana dalam mana-mana parti pun, akhirnya ada cabaran yang akan menguji pemimpinnya sehingga boleh mengakibatkan berpaling tadah atau berpaling arah,” katanya kepada FMT, hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu memberikan satu lagi contoh, PH tidak mempersoalkan kesetiaan Parti Amanah Negara (Amanah) yang berpecah dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada UMNO, selepas menyertai gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
“Kena lihat strategi PRU dan kebersamaan yang lebih besar,” katanya yang yakin parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga ada kemampuannya tersendiri untuk menarik sokongan pengundi termasuk golongan muda menyokong PH.
Sheikh Omar mengulas hasrat Muda untuk menyertai PH serta kesetiaan parti baharu itu sebagai rakan komponen.
Bagaimanapun katanya, pendapatnya bersifat peribadi dan pendirian rasmi DAP hanya akan diputuskan Setiausaha Agung Anthony Loke.
Sementara itu, bekas ketua wanita Paerti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Khamis menggesa supaya Majlis Presiden PH tidak menerima Muda berdasarkan penolakan pengundi atas pagar pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.
Pada PRN Johor lalu, Muda yang julung kali bertanding menang satu daripada tujuh kerusi ditandingi, iaitu di DUN Puteri Wangsa.
Napsiah menegaskan ia belum cukup teruji kerana Muda hanya memilih bertanding di kerusi selamat yang dirasakan boleh menang.
“Kita ada agenda dan prinsip kita, dan kita tak rasakan mereka punya prinsip yang sama dengan kita…Muda belum teruji dan kita tak teruji dengan kesetiaan dia, kekuatan dia.
“Yang baiknya dia kena gerak solo sebab dia kena buktikan dengan pengundi, dia adalah ‘third force’ boleh buat perubahan sebab PH ada kekuatan sendiri, manifesto sendiri dan kita yakin dengan kesepakatan kita,” tegasnya.
Ditanya mengenai langkah Muda yang mahu bertanding 15 kerusi Parlimen, Napsiah yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas mencabar parti itu untuk menamakan kawasan berkenaan serta kekuatan jentera yang ada bagi menghadapi PRU-15.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai Zulhafiz Zulkifli menyambut baik penyertaan Muda sebagai rakan komponen PH kerana menganggapnya mampu menarik undi baharu pada PRU nanti.
Bagaimanapun katanya, Muda sebagai parti baharu perlu bertanding di pantai timur memandangkan PH sukar menawan kerusi yang ada terutamanya di Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Kita boleh besarkan blok PH tapi…fokus di luar bandar, pantai timur kerana sehingga kini ketiga-tiga parti (DAP, PKR dan Amanah) juga sukar tarik sokongan rakyat,” katanya.