Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

PENULIS seringkali ditanya oleh rakan-rakan bilakah tarikh sebenar PRU015 akan diadakan walaupun tarikh tersebut sebenarnya hanya akan ditentukan oleh Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana tidak mahu menghampakan mereka, penulis pun memberikan tarikh yang dirasakan paling sesuai bagi rakyat menentukan wakil rakyat pilihan seterusnya parti mana paling layak untuk memerintah.

Mengikut jangkaan awal, bulan November adalah masa paling sesuai untuk Ismail Sabri mengadakan PRU-15 berdasarkan beberapa petunjuk yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini.

Pertamanya, langkah kerajaan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober depan, iaitu tiga minggu awal daripada tarikh asal.

Pemerhati politik melihat langkah itu petanda besar bahawa PRU-15 akan diadakan kerana pada kebiasaannya pembentangan bajet dan pemberian pelbagai ‘ganjaran’ kepada rakyat akan mewujudkan faktor sokongan kepada parti pemerintah.

Ia turut disokong oleh seorang menteri kabinet, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berpandangan apabila rakyat sudah menkmati kebaikan bajet, maka ia adalah sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Keduanya, tekanan kuat daripada parti dianggotai Ismail Sabri sendiri apabila desakan PR-U15 diadakan dengan segera kerap dilaungkan Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan beberapa orang kanannya.

Boleh dikatakan desakan agar pilihan raya diadakan dengan segera sentiasa bermain di bibir sesetengah pemimpin UMNO pro-Zahid.

Selain bercakap secara terang-terangan mahu PRU-15, UMNO juga sudah mengatur strategi meletakkan calon-calon pilihan Presiden di kerusi-kerusi selamat manakala pemimpin yang dilihat tidak sehaluan, nasib mereka belum diketahui sama ada akan dapat bertanding atau tidak.

Dengan berlegarnya berita dan khabar angin mengenai nama calon dan kawasan mana yang akan ditandingi, ia secara langsung menghidupkan suasana bahawa PRU-15 makin hampir.

Ketiganya, selain UMNO yang sudah diketahui mahu PRU-15 diadakan segera, pemimpin utama parti-parti lain juga sudah menyatakan bahawa mereka bersedia jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Tetapi, di sebalik beberapa petanda ini yang memungkinkan bahawa PRU-15 diadakan pada bulan November tahun ini, penulis memberitahu rakan-rakan bahawa terdapat petanda kuat yang menunjukkan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan pada tahun ini.

Petunjuk paling hampir ialah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia ataupun MetMalaysia meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Disebabkan hujan lebat berterusan itu, maka ia dijangka menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Kata agensi kaji cuaca itu lagi, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.

Ia turut dikuatkan dengan fenomena La Nina yang masih berlaku dan dijangka berlanjutan sehingga awal tahun depan menyebabkan peningkatan taburan hujan.

Pada bulan depan pula, diramalkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.

Dengan mengambil kira pandangan pakar mengenai keadaan cuaca pada bulan-bulan mendatang dan kesan akibat banjir yang telah dilalui sebelum ini seperti bah besar di kebanyakan kawasan, kemungkinan PRU-15 pada tahun depan adalah lebih munasabah.

Selain itu, beberapa kenyataan Ismail Sabri berkaitan PRU-15 sebelum ini seperti mahu menunggu hasil kajian sokongan terhadap BN, mahu menyelesaikan isu-isu rakyat dahulu, maka dapat dijangka beliau akan menunggu sehingga Parlimen terbubar dengan sendirinya.

Oleh itu, pesanan penulis kepada rakan-rakan, sama ada pada tahun ini atau tahun depan, yang penting pilihan pengundi iaitu memilih parti dan individu yang benar-benar layak untuk memimpin.

Pilihlah yang bersih, berintegriti, mengutamakan rakyat dan mempunyai rekod pentadbiran yang baik.

*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here