Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui pemimpin parti tersebut bukan maksum dan banyak kelemahan.

“UMNO tidak akan akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik dalam realiti tersebut. Kami banyak kelemahan.

“Saya sedar dan akuinya. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu.

“Tetapi UMNO tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

Kata bekas Perdana Menteri itu, UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara ‘total’ dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi, malah pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbilion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

Mohamed Khaled berkata, kenyataan terbaru Dr Mahathir tentang UMNO menunjukkan bahawa beliau terus dihantui UMNO pada setiap saat dan ketika, jelas bahawa negarawan itu sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada parti tersebut.

Katanya, tindakan melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO.

Beliau mendakwa Dr. Mahathir kini kembali kepada strategi asalnya iaitu menghentam dan menghina UMNO.

“Dalam perkara ini, Dr Mahathir sebenarnya terlepas pandang beberapa perkara. Pertama, sekeji mana pun UMNO pada kaca mata Tun, UMNO sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang Bersatu lakukan pada beliau. UMNO yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya. UMNO tidak pernah menikam beliau dari belakang. Tidak pernah.

“Kedua, Tun Mahathir adalah negarawan yang bukanlah calang-calang. Beliau adalah tokoh hebat. Namun jika tokoh seperti beliau gagal menjadikan Bersatu, Pejuang dan terkini Gabungan Tanah Air (GTA) berjaya, maka beliau harus menerima realiti bahawa politik zaman dan cara beliau telah lama berakhir,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, jika dibandingkan dengan seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) jauh lebih berjaya, bertahan dan lebih lestari, malah sudah berpuluh tahun pari itu kekal dalam persada politik nasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here