Lelaki redah arus deras selamatkan tiga adik dan jiran di Baling

TINDAKAN pantas dan berani seorang lelaki berenang menyeberangi arus deras berjaya menyelamatkan tiga adik-beradiknya serta seorang jiran yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Padang Empang, di Baling semalam.

Mohd Nazrol Ramli, 30, berkata ketika mula hujan kira-kira pukul 6 petang, dia dan adik-beradiknya sedang memindahkan perabot serta barangan lain ke tingkat atas rumah kerana bimbang dinaiki air.

“Belum sempat mengalihkan semua barang, kira-kira pukul 7 malam air deras tiba-tiba datang dan membentuk dua laluan seperti sungai menyebabkan rumah saya dan enam rumah lain terkepung oleh air.

“Masa itu, saya dan tiga adik-beradik lelaki serta seorang jiran perempuan terkepung tidak boleh ke mana-mana. Penduduk kampung juga menjerit meminta kami keluar daripada rumah kerana bimbang dirempuh kayu balak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurutnya dia kemudian membawa seorang demi seorang adik-beradik serta jirannya menyeberangi arus deras ke kawasan selamat.

Mohd Nazrol berkata mujur ketika kejadian isterinya, Illiyani Che Mee, 32, dan anak mereka, Nor Ammara Faeqa, 1, terlebih dahulu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang bersama jiran yang lain.

“Ketika menyeberangi arus deras itu, beg saya yang ada telefon dan duit habis basah..tapi waktu itu saya cuma fikir tentang nyawa sahaja. Hari ini bila balik rumah, sedih tengok barang yang tak sempat dipindahkan habis rosak, tikar getah yang baru dipasang juga dipenuhi selut,” katanya.

Rosnani Sahak menunjukkan kawasan yang dilanda banjir di Kampung Padang Empang Baling.

Seorang lagi mangsa, Rosnani Sahak, 44, berkata banjir kali ini tidak seteruk berbanding pada 4 Julai lepas, namun tetap trauma lebih-lebih lagi apabila mengenang rasa letih dan penat ketika banjir pertama dahulu belum habis lagi.

“Ini kali ketiga rumah saya dilanda banjir. Paling teruk pada 4 Julai lepas, kali kedua tak berapa teruk dan kali ini air naik sampai paras pinggang manakala selut setinggi lutut. Bila kali ketiga dilanda banjir kilat, mental dan fizikal rasa tak berdaya,” katanya yang tinggal di Kampung Iboi sejak lima tahun lepas.

Bagi Abdul Rahman Ahmad, 70, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan kejadian banjir semakin kerap berlaku di kawasan itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian besar akibat kerosakan harta benda.

“Saya minta kerajaan buat benteng yang lebih elok dan kukuh di sepanjang sungai bagi mengelak limpahan air apabila hujan lebat ,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata setakat pukul 4 petang ini, 128 mangsa daripada 36 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *