Sungai Kupang di Kampung Iboi melimpah lagi

Oleh RIZQI ZABIDI

PENDUDUK Kampung Iboi di Baling sekali lagi berdepan pengalaman menakutkan apabila air dari Sungai Kupang yang pernah membadai kawasan tersebut pada 4 Julai lalu, sekali lagi melimpah hari ini.

Meskipun limpahan itu tidaklah seteruk seperti yang berlaku dalam kejadian menyayat hati mengorbankan tiga nyawa pada awal Julai lalu, limpahan air tersebut yang jelas berwarna kemerah-merahan cukup untuk mendatangkan kerisauan kepada penduduk setempat.

Difahamkan kejadian iu berlaku akiba hujan lebat selama lebih sejam bermula kira-kira pukul 6 petang tadi.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Che Hussin, limpahan air sungai tersebut menyebabkan benteng pasir yang dibina dibawa arus.

“Jambatan Bailey yang dibina sebagai penghubung sementara bagi penduduk kampung merentasi sungai itu juga terpaksa ditutup demi keselamatan,” katanya.

Tambahnya, ketika ini penduduk sentiasa bersiap-sedia sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

Pada 4 Julai lalu, lebih 1,000 rumah dan premis perniagaan terjejas akibat banjir yang berlaku manakala 17 buah rumah lagi rosak teruk.

Kejadian itu mengorbankan tiga individu iaitu Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ibunya, Salmah Mat Akib serta menantu Salmah, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang mengandung empat bulan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *