Mayat pemancing ditemukan tersangkut pada pukat tunda

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pemancing yang terjatuh dalam Sungai Sembayong di Kota Tinggi, kelmarin selepas bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain, ditemukan mayatnya semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, Mayat Mohd. Fauzi Husin ditemukan pada pukul 3.20 petang.

“Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400 meter dari kawasan mangsa yang berusia 33 tahun dipercayai jatuh dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan selaman sebelum berjaya menemukan mangsa.

“Mangsa dijumpai tersangkut pada salah satu pukat bot nelayan tempatan. Operasi pencarian turut dibantu oleh penduduk kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Al Hasra berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.15 petang.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 petang Ahad melibatkan dua buah bot berukuran panjang empat dan sembilan meter.

Kemalangan tersebut mengakibatkan tiga pemancing yang berada dalam bot empat meter semuanya tercampak ke dalam laut.

Mohd. Mumtaz Hamzah, 38, dan seorang lagi mangsa yang hanya kenali sebagai Kamisan, 29, diselamatkan orang awam namun seorang daripadanya cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam manakala Mohd. Fauzi hilang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *