UMNO perlu menerima kerjasama dihulurkan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Bekas Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO seperti yang dinyatakan semasa muktamarnya hujung minggu lalu, perlu dilihat secara positif.
Menurutnya yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, beliau mengikuti rapat muktamar PAS dan resolusi yang diputuskan di muktamar itu.
“PAS sudah mengambil satu langkah strategik apabila mengisytiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka. Strategi PRU-15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi atau kepentingan diri,” katanya di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, PRU-15 perlu disegerakan sebaik saja UMNO bersiap siaga dari semua sudut.
“Salah satu daripada kesiapsiagaan terpenting adalah formula untuk menang.
“Menyegerakan PRU-15 bagi memenuhi tujuan lain, tetapi jika membawa padah, adalah satu tindakan ‘kamikaze’ politik buat UMNO. Kita harus elakkan itu.
“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang,” katanya.
Annuar berkata, politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh, dengan berpaksikan politik orang Melayu yang mantap.
“Strategi musuh adalah untuk melihat politik Melayu lemah. Ia akan lemah apabila orang Melayu berpecah.
“Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan UMNO selama ini. Sejak penubuhannya pada 1946, UMNO adalah tonggak perpaduan orang Melayu paling utama.
“UMNO tidak harus terjun dalam PRU-15 tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah,” katanya.
Sebelum itu, usul penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam yang dibawa Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) diterima sebulat suara dalam muktamar parti itu kelmarin dengan menyertakan UMNO di dalamnya.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berulang kali menegaskan tidak akan bekerjasama dan melakukan rundingan dengan PAS.
PAS melalui muktamarnya juga mempertahankan dakwaan bahawa parti itu mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertentu dalam UMNO dan menegaskan ia menunjukkan perkembangan positif.
PAS turut memberi gambaran bahawa rundingan itu berlaku tanpa pembabitan Ahmad Zahid.
Leave a Reply