Pas…hentilah lamunan mengejar bayangan UMNO!

PADA 21 Ogos lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ‘’Muafakat Nasional ini tidak mengikat sesiapa. MN ini bukan perjanjian, dia cuma piagam, itu piagam kita untuk menjadi landasan Melayu dan Islam, jika ada apa-apa berkenaan Melayu Islam dan Pribumi, ini landasan yang baik untuk perjuangkannya, not so much on politics.’’.

Pada 29 Ogos lalu pula, beliau berkata, ‘’ parti telah buat dasar.. keputusan, peganglah itu. Walaupun ada orang menggesel-gesel badan ke apa, kita akan pergi berseorangan.’’

Dan semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, “Apa yang saya lihat, kerjasama yang Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar. Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat.

‘’UMNO perlu bergerak ke hadapan dan keputusan untuk bergerak solo pada PRU-15 hasil sikap Pas sendiri. UMNO tak perlu sedu-sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam.’’

Kenyataan dua pemimpin tertinggi UMNO sudah memberikan isyarat jelas dan tegas kepada Pas bahawa mereka tidak perlu lagi terhengeh-hengeh untuk cuba berusaha mencapai kesepakatan dengan UMNO atas nama penyatuan ummah. Ia memandangkan pemimpin UMNO dilihat ‘bercanggah’ dalam mentafsirkan apa yang disepakati dalam Muafakat Nasional.

Ahmad Zahid dilihat lebih cenderung untuk mengatakan jika Pas mahu bekerjasama dengan UMNO, mereka tidak boleh menjalinkan hubungan politik lain manakala Mohamad pula berkata, Muafakat Nasional ini tidak mengikat sesiapa, ia bukan perjanjian tetapi piagam untuk menjadi landasan Melayu dan Islam.

Jika mengkaji apa yang termeterai dalam piagam itu yang ditandatangani pada 14 September 2019, tidak ada satu ayatpun menyatakan parti yang menangani piagam tersebut tidak boleh mengadakan hubungan politik dengan pihak lain. Jadi betullah kata, Tok Mat Hasan, ‘’ia tidak mengikat’’.

Tetapi Ahmad Zahid pula seolah-olah cuba mengaitkan Muafakat Nasional dengan gerakan politik sehingga beliau menyatakan,’’ UMNO tak perlu sedu-sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam.’’

Beliau juga berkata,’’ kerjasama yang Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.’’

Cuba ingat kembali antara isi kandungan piagam MN antaranya ialah;

*MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

*MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

*MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Terbuktilah ia lebih kepada usaha menyatukan orang Melayu dan segi politik mahu menyatukan parti-parti Melayu. Bagaimanapun semuanya kini semakin sukar dicapai apabila UMNO sudah berulang kali menyatakan mereka akan bergerak solo dalam PRU-15, soalnya apa lagi yang Pas harapkan?

Semalam Dewan Ulama dan Dewan Pemuda Pas mahu usaha dilakukan bagi menyatukan ketiga-tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

Kelmarin pula, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ismail Tuan Man berkata, Pas akan berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi yang dianggap kritikal. Ia kerana kalau berlaku pertembungan antara UMNO dan Pas, PH akan untung.

Bagaimanapun Ahmad Zahid sudah menjawab hasrat Tuan Ibrahim itu dengan sekali lagi menyatakan pendirian UMNO untuk bergerak solo. Itu bukan kali pertama beliau berkata demikian.

Pada 2 Ogos lalu, dalam satu wawancara Ahmad Zahid turut menjawab kenyataan Tuan Ibrahim yang mahukan jalinan kerjasama kedua-dua parti secara menyeluruh dan bukan negeri tertentu sahaja.

Apa kata Zahid;

“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang ini kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan…kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi. Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka.’’

Persoalannya, adakah Muktamar Pas Ke-68 di Kota Sarang Semut hari ini akan terus berkumandang dengan suara-suara yang masih lagi merintih mahu menjalin kerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 atas nama perpaduan ummah?

Kenapa lagi mahu bergesel-gesel badan, kalau dua pemimpin utama sudah menyatakan pendirian parti mereka? Adakah Pas tidak yakin mereka boleh mencapai kejayaan tanpa UMNO? Atau adakah dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas, mereka yakin bahawa Bersatu tidak akan mampu memberi kemenangan bagi memperoleh kuasa yang mereka mahukan?

Penulis melontarkan persoalan ini kerana di luar Pas, parti itu sedang diketawakan kerana sebahagian pemimpinnya dilihat masih merintih mengharapkan belas ihsan UMNO untuk bersama dalam PRU-15.

Keadaan itu juga sekaligus menjejaskan imej PN khususnya Bersatu kerana orang mentafsirkan Pas sebenarnya mahu bersama UMNO bukan Bersatu, tetapi sudah ‘tersalah langkah’ menjadi anggota PN. Mungkin persepsi atau tanggapan itu tidak benar tetapi itulah tafsiran orang di luar Pas.

Oleh itu Pas harus menjadikan muktamar hari ini untuk membuat satu keputusan yang tegas dalam soal kerjasama dengan UMNO. Benar, Islam menyeru kepada perpaduan ummah dan perlu berusaha untuk mencapainya, tetapi dalam politik ia berbeza.

Politik adalah berkaitan kedudukan dan kekuasaan. Bila sebuah parti itu lemah maka kononnya atas nama perpaduan ummah, ia mahu berpakat dengan parti lain, tetapi apabila sudah berasa kuat, hujah perpaduan ummah itu entah ke mana.

Inilah yang sedang berlaku sekarang. UMNO sudah berasa mereka kuat dan mampu menang seterusnya kembali berkuasa selepas PRU-15. Dua kemenangan di Melaka dan Johor dalam PRN telah menyebabkan mereka begitu yakin akan besar dalam PRU nanti. Atas sebab itulah mereka dilihat memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan kerjasama dengan Pas.

Fakta inilah yang perlu difahami dan dihadam oleh pemimpin serta ahli Pas. Mereka perlu bangun daripada  lamunan mengejar bayangan UMNO bagi menghadapi PRU-15.

Pas bukan parti picisan, Pas bukan sebuah parti yang perlu melukut di tepi gantang. Pas kini dalam kerajaan di peringkat pusat dan memerintah  di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.   Kekuatannya tidak ada bezanya dengan UMNO yang berkuasa di Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

Oleh itu kenapa perlu ‘bergesel-gesel badan’ dengan UMNO. Pas sepatutnya memperkukuhkan PN. Janganlah terkejar sana, terkejar sini sehingga maruah Pas seperti diperkotak-katikkan.

Penulis percaya, usaha Pas untuk menyatukan ummah akan berjaya tetapi bukan sebelum PRU-15  kerana ‘tembok penghalang’ masih menebal dan kuat? Apakah ‘tembok itu’…fikirlah sendiri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *