Oleh BADLISHAH MAT
PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat minggu depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, mesyuarat tersebut akan menyentuh penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Perkara ini antara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN sebagai salah satu strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Itu kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Apa-apa pun semua perkara dalam PN ini kita bincang bersama-sama. Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira.
“Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, keputusan akan dibuat Ahli Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat yang kita akan adakan mungkin minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Perasmian disempurnakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam menegaskan penyokong parti itu termasuk akar umbinya alah dengan logo PN yang mempunyai warna biru seakan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, persiapan pembahagian kerusi di peringkat PN, semua pihak sudah memulakan rundingan dengan semua parti dan akan diperincikan dalam masa terdekat.
“Kita sudah mula rundingan (pembahagian kerusi) tetapi belum selesai. Tapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan,” ujarnya.
Ketika ditanya tempoh rundingan itu kata Muhyiddin, ia dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum PRU-15 nanti.
Berkaitan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kata beliau, itu sekadar pandangan tentang keterbukaan Bersatu, namun tidak menafikan ia sesuatu yang sukar kerana tentangan daripada akar umbi dan penyokong parti.
“Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata, sebelum ini ada pihak-pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan. Suara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen. Jadi saya bagi reaksi.
“Tapi saya faham situasinya agak sukar. Jadi apa pun situasi kalau sudah begitu situasinya kita akan menghadapi realiti kalau ada pertembungan, kita akan lawan. Kita bersedia untuk menghadapi tiga penjurukah, empat penjurukah, tidak menjadi masalah pada kita,” katanya.
Pendirian itu juga katanya, menandakan sikap keterbukaan Bersatu, namun parti itu tetap mendukung pendirian yang ditetapkan bersama dalam gabungan PN.
“Kita faham juga akar umbi tidak bersetuju. Tetapi kalau apa pun situasi PN, ada pendirian dan apa keputusan yang kita akan buat atau pun telah kita buat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama,” katanya.
Leave a Reply