MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad, tujuh tahun lepas.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad manakala Zizie Izette pula dituduh bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.
Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, dituduh menerima rasuah tersebut daripada ejen pelaburan melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015. – BERNAMA
Leave a Reply