KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas seorang perwakilan yang mempersoalkan kepimpinan parti kurang mengkritik Bersatu sebagai “memalukan”.

Berucap ketika sesi penggulungan, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan kritikan terhadap parti seteru, termasuk UMNO sebagai membalas serangan lawan terhadap PAS.

“Tiba-tiba kita bangkit kenapa serang Umno, aduh malu… Pemuda yang sebut ni. Padahal apa yang kita beri selalunya adalah serangan terhadap kita.

“Malu kita jadi Pemuda yang jadi barisan hadapan kepada parti, melihat saja kepimpinan kita diserang,” katanya tegas sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today.

Laporan itu turut menyebut Fadhli berkata, sifat setia kepada kepimpinan perlu dijadikan teras dalam diri sayap Pemuda, selain sentiasa bersedia mempertahankan pimpinan ketika diserang pihak lawan.

“Jika tengah malam pimpinan kita diserang, tengah malam juga kita bangkit pertahankan. Sebagai rentas parti kita kena setia kepada kepimpinan. Ke mana pimpinan kita di situlah kita pergi,” katanya.

Terdahulu, seorang perwakilan dari Johor menegur kepimpinan PAS yang kurang mengkritik Bersatu sekiranya parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bertindak membelakangkan PAS.

Kritikan itu dipercayai susulan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terbuka mahu mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketika membahaskan usul tergempar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM), perwakilan itu berkata, tindakan kepimpinan PAS yang kerap mengkritik Umno berbanding Bersatu, dilihat tidak sejajar dengan semangat penyatuan ummah menerusi platform Muafakat Nasional yang dilaungkan kepimpinan parti.

Sementara itu, dalam sidang media, Fadhli berkata, kepimpinan tertinggi PAS akan membawa pendirian parti mengenai kerjasama dengan PH di dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN), pada 7 Sept.

“Saya yakin soal kerjasama dengan PH, sebagai parti dalam PN ini merupakan pendirian kami bahawa tiada sebarang rundingan antara PH dalam PRU,” katanya.

Menyentuh mengenai kerusi MN, katanya rundingan 27 kerusi berisiko itu akan diteruskan sehingga hari penamaan calon.

“Rundingan ini akan kami usahakan terutamanya pada 20-27 kerusi yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh Umno atau PAS sekiranya mereka mengelak bertembung antara satu sama lain,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS dan Umno harus kembali kepada MN untuk menyelamatkan 27 kerusi Parlimen berisiko agar tidak jatuh ke tangan PH, jika dua parti terbesar itu bertembung pada PRU15.

Bercakap pada sidang media, beliau berkata, platform MN masih “bernyawa” dan tidak pernah dibubarkan walaupun pelbagai isu menekan “hubungan” Umno dan PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here