Bertanding solo: Hashim minta Zahid rujuk kembali piagam MN

MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin hari ini meminta Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang berulag kali menyatakan UMNO akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merujuk kembali piagam perjanjian bersama Muafakat Nasional (MN).

Hashim berkata, Presiden UMNO itu sendiri bersetuju supaya kandungan perjanjian antara kedua-dua parti itu perku merujuk kepada al-Quran, sunnah dan hadis jika berlaku sebarang perselisihan.

“Sekarang ini saya selalu bangkitkan: rujuklah, buka balik piagam… apa yang kita berselisih, keputusannya mesti ikut al-Quran dan sunnah. Tetapi kalau nak cari alasan hal remeh-temeh itu, kita tak rujuk perjanjian kita, sebab itu – walaupun UMNO nak lipat perjanjian MN ke dalam laci – kita (Pas0098) kekal terbuka.

“Bukan sahaja dengan UMNO, sesiapa saja sampai sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas ke-61 di Guar Chempedak, Kedah.

Beliau mengulas mengenai keengganan UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu walaupun Pas berusaha mendamai kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun Hashim menegaskan,  walaupun jalan untuk perpaduan ummah itu masih jauh tapi Pas yakin dan nampak harapan untuk ia berjaya.

“Bagi Pas saya masih ingat lagi waktu sebelum perjanjian (MN) ditandatangani di PWTC, kebetulan Zahid datang ke Kedah dan kebetulan juga jumpa dengan Pas.Jumpa dalam keadaan santai, ada Pas cadang supaya perjanjian itu diakhiri dengan merujuk al-Quran dan sunnah jika berlaku perselisihan antara parti. Zahid bersetuju, dia kata ‘bagus, bagus’ dan ia dimasukkan dalam piagam itu,” katanya.

Hashim turut menegaskan, dalam al-Quran ada menyatakan jika ada dua golongan mukmin bergaduh maka hendaklah damaikan kedua-duanya.

“Sekarang ini UMNO dengan Bersatu berkelahi, kedua-duanya Islam. Kita buka pintu ajak, kita tak tutup tapi tak mahu juga, UMNO tak mahu juga, kita tengok siapa yang tak mahu? Kumpulan mana dalam UMNO tak mahu (berdamai), walaupun mereka pakai baju merah, bertempik dalam dewan betulkah itu caranya? Maknanya bukan semua antara pimpinan UMNO tolak Bersatu dan PAS ke arah perpaduan ummah.

“Kami harap sebahagiannya (UMNO) dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah,” katanya merujuk hubungan UMNO dan Bersatu.

Menjawab satu soalan, Hashim berkata, Pas tidak terdesak untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menghadapi PRU-15 apatah lagi terlalu bergantung seolah-olah parti itu tidak dapat hidup tanpa UMNO.

‘’Pas sudah melalui pelbagai fasa dan cabaran sepanjang penubuhannya sejak 1951 dan parti sentiasa mempunyai tempat bergantung iaitu al-Quran, sunnah dan syarak yang menjadi panduan dalam berpolitik. Nak kata terdesak ertinya kita (Pas) tak boleh hidup tanpa dia (UMNO) sedangkan kita sejak 1951 sehingga sekarang sudah lalui macam-macam (bertanding solo), tekanan, seronok apa semua kita lalui.

“Kita ada tempat kita berpandu (iaitu) al-Quran, sunnah dan syarak, maka kita rasa tenang dan lapang…kalah pun tak apa, menang lagi la. (Itulah) beza Pas dengan parti lain,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *