HARI ini Muktamar Dewan Pemuda Pas akan mula bersidang sebelum diikuti muktamar utama esok di Kota Sarang Semut. Pada hari ini dan esok juga di Stadium Darul Aman berlangsung Jelajah Keluarga Malaysia.
Dua acara yang menarik. Satu melibatkan sebuah parti yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) manakala satu lagi anjuran kerajaan yang menyaksikan m PN dan Barisan Nasional (BN) bergabung bersama bagi menguruskan negara.
Maknanya, dari kesepakatan sudah jelas, Pas adalah anggota rasmi PN manakala kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disertai oleh dua gabungan yang setakat ini hampir pasti bertembung antara sama lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Namun itu tidak bermakna ia menutup persoalan atau lebih tepat kekeliruan berhubung siapa kawan dan siapa lawan Pas sebenarnya dalam PRU-15 nanti. Semalam Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli dengan tegas mahukan muktamar itu memberi kata putus berhubung persoalan berkenaan.
Semalam juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan dengan tegas bahawa parti itu akan turun ke gelanggang PRU-15 bersama PN.
Tegas beliau, Pas melalui PN tidak takut untuk menghadapi PRU-15 dan bersedia berdepan apa jua situasi yang mendatang pada pilihan raya berkenaan.
Kenyataan Tuan Ibrahim sudah jelas Pas bersama PN tetapi bersedia berunding dengan UMNO berkaitan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal, maksudnya kalau berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu Pakatan Harapan (PH) akan untung.
Niat mungkin baik tetapi adakah ia akan diterima oleh kepemimpinan UMNO? Adakah dengan kenyataan Tuan Ibrahim itu ia bermakna ‘adegan gesel-gesel badan’ dengan UMNO akan berlanjutan? Kepemimpinan UMNO dengan tegas sudah menyatakan, mereka akan turun gelanggang PRU-15 secara solo dan memetik kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Hasan;
‘’Keputusan untuk bergerak sendiri sudah diputuskan BN sebelum ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Letih saya, berapa kali nak cakap, biar dia menggesel-gesel badan, dia tengah menggesel-gesel badan kat kita, dia nak menggesel badan ke dia nak apa ke, itu dia punya pasal. Jangan tergoda, jangan terlena dengan pujuk rayu, takkan selalu sangat kita nak kena tipu, berapa kali BN nak kena tipu?”.
Kenyataan itu jelas ditujukan kepada Pas. Tok Mat Hasan berkata demikian kerana di dalam Pas, masih ada segelintir pemimpin yang kononnya atas nama perpaduan ummah mahu menyatukan kembali hubungan parti itu dengan UMNO. Kata mereka,perpaduan ummah adalah tuntutan Islam dan satu perjuangan murni Pas.
Betul penulis tidak nafikan menyatukan ummah adalah seruan Islam seperti mana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
“Dan berpegang teguhlahlah kamu semuanya pada tali (agama) Allâh, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allâh kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allâh mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allâh menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allâh menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”
Tetapi yang anehnya kenapkah kelompok pemimpin Pas tersebut hanya melihat kepada UMNO dalam misi menyatukan ummah? Kenapa mahu pinggirkan Bersatu? Bukankah Bersatu dan Pas berada dalam satu gabungan? Bukankah Bersatu juga adalah parti Melayu yang bukan sahaja bersama-sama dalam kerajaan tetapi juga bertanggungjawab membawa Pas menjadi kerajaan di peringkat pusat.
Penulis bukanlah menentang usaha untuk berbaik-baik UMNO, silakah sahaja kalau betullah niatnya demi perpaduan ummah. Tetapi apa yang diperhatikan kesediaan kelompok tertentu dalam Pas ‘bergesel-gesel badan’ dengan UMNO lebih bermotifkan politik dan mencari kekuasaan.
Mereka tidak mempertimbangkan bagaimana tindakan yang dilakukan boleh menyebabkan maruah Pas diperkotak—katikkan manakala dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu tertanya-tanya siapa sebenarnya sekutu Pas. Ia memandangkan Pas adalah anggota rasmi PN tetapi pada masa orang Melayu dihidangkan dengan pelbagai kenyataan oleh segelintir pemimpin Pas sendiri yang begitu ‘bernafsu’ untuk bersama UMNO.
Orang Melayu pening bila kerjasama itu hanya akan diwujudkan di negeri-negeri tertentu sahaja. Di Perlis, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan, UMNO tak mahu bekerjasama dengan Pas. Di Kelantan dan Terengganu, situasi yang sama juga berlaku.
Yang beria-ia mahukan kerjasama dengan Pas ialah di Selangor. Kenapa? Sebabnya tanpa kerjasama dengan Pas, usaha untuk menumbangkan PH akan gagal. Niat sudah baik tetapi pelaksanaan nampak keliru! Kenapa mahu pinggirkan Bersatu?
Justeru itulah muktamar yang bermula hari ini di Kota Sarang Semut harus membuat kata putus, siapa kawan dan siapa lawan parti itu dalam PRU nanti. Janganlah berperangai seperti semut, di mana ada gula di situ ada semut. Atau menjadi seperti semut kecil yang tidak nampak tetapi gigitan terasa.
Samalah juga apabila ada segelintir Pas mahu bersama UMNO bukan kerana perpaduan ummah tetapi kerana mahukan kuasa ibarat di mana ada gula di situ ada semut. Mereka inilah menjadi semut halus di dalam Pas, tak nampak tapi terasa gigitannya.
Semoga muktamar Pas akan memberi kepastian dan menutup persoalan ‘siapa kawan dan siapa lawan parti itu’. Kalau itu tidak ditetapkan dibimbangi parti itu akan terhumban dalam situasi ‘yang dikejar tak dapat, yang dkendong berciciran’ dalam PRU-15. SELAMAT BERMUKTAMAR.
Leave a Reply